TA Securities menilai saham Kucingko yang bakal disenaraikan di Bursa Malaysia pada 43 sen | DagangNews Skip to main content

TA Securities menilai saham Kucingko yang bakal disenaraikan di Bursa Malaysia pada 43 sen

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Julai - TA Securities memberi harga wajar 43 sen terhadap Kucingko Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Saranan itu adalah berdasarkan kepada nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 18.4x daripada pendapatan sesahamnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

 

Firma penyelidikan itu mengunjurkan pendapatan teras tahunan terkompaun (CAGR) tiga tahun sebanyak 18.7% disokong oleh rancangan pengembangan strategik kumpulan, peningkatan populariti platform media sosial dan sambungan internet selain pertumbuhan dalam platform pengedaran (termasuk Netflix, Disney+, Hulu, Amazon Prime Video dan Max).

 

Katanya, apabila setimen pengguna berubah, penstriman dalam talian dan muat turun telah menjadi penting dalam mendorong permintaan untuk kandungan, termasuk kandungan animasi 2D.

 

"Pangkalan pelanggan global yang besar bagi platform penstriman ini memberikan peluang pertumbuhan yang ketara untuk penyedia perkhidmatan pengeluaran animasi 2D," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kucingko sasar kumpul RM30 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

TA Securities menjangkaka kumpulan mencatatkan pertumbuhan pendapatan masing-masing sebanyak 28.3%, 19.3% dan 19.6% kepada RM9.9 juta, RM11.8 juta dan RM14.1 juta untuk FY24, FY25 dan FY26.

 

Katanya, pertumbuhan itu disokong oleh buku pesanannya yang tidak dibilkan sebanyak RM23.3 juta pada 28 Mei 2024 dan prospek yang lebih baik untuk sektor pengeluaran animasi 2D.

 

"Kami menjangkakan pasaran asing kekal sebagai pemacu pendapatan utama," katanya.

 

Kucingko akan memperuntukkan sejumlah RM17.8 juta daripada hasil tawaran awam permulaan (IPO) bagi tujuan pembesaran kapasiti, termasuk RM11.9 juta untuk penubuhan pejabat cawangan pengeluaran di Malaysia Timur.

 

Selain itu mereka akan menggunakan sejumlah RM4.4 juta bagi menubuhkan pejabat jualan di Amerika Syarikat (AS), sejumlah RM4.3 juta akan disediakan untuk modal kerja dan baki RM3.6 juta digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian. - DagangNews.com