Taraf penarafan TNB dinilai semula kepada 'Pegang' daripada 'Beli' - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Taraf penarafan TNB dinilai semula kepada 'Pegang' daripada 'Beli' - AmInvestment

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 25 Julai - AmInvestment Bank Research (AmInvestment) menyemak taraf saranan Tenaga Nasional Berhad (TNB) daripada 'Beli' kepada 'Pegang' berikutan kenaikan harga sahamnya yang mendekati nilai wajar RM14.55 sesaham.

 

Firma penyelidikan itu turut menjangkakan pertumbuhan permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia bagi sepanjang tahun ini dijangka lebih rendah berbanding yang direkodkan pada suku pertama 2024 (1QFY24).

 

"Walaupun pertumbuhan permintaan tenaga yang kukuh sebanyak 9.6% pada 1QFY24, peningkatan untuk tahun penuh dijangkakan lebih rendah pada 2.5% hingga 3% (berbanding jangkaan pertumbuhan KDNK 4.4%).

 

"Selepas 1QFY24 yang cemerlang, kami menjangkakan permintaan tenaga dari sektor kediaman akan perlahan seiring perubahan cuaca yang lebih kurang panas. 

 

"Walau bagaimanapun, TNB hanya boleh mengiktiraf pertumbuhan jualan sebanyak 1.7% di bawah Tempoh Regulatori Ketiga (RP3). Sebarang lebihan dikembalikan ke Tabung Industri Tenaga," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pusat data lonjakkan permintaan tenaga, PublicInvest naikkan taraf saranan TNB kepada 'Outperform'

 

AmInvestment dalam pada itu mengunjurkan harga rujukan untuk pertukaran mata wang, arang batu dan gas akan lebih tinggi di bawah RP4 seiring kenaikan harga global.

 

Menurutnya, garis panduan RP akan diumumkan pada 1Q2025 dengan perbincangan mengenai parameter RP4 masih berlangsung sebelum dikemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan pada Oktober.

 

Katanya, di bawah RP3, kadar rujukan bagi arang batu adalah AS$79/tan dan RM30/mmbtu bagi gas Tier 1. Perbandingan dengan harga arang batu kini berada di antara AS$135/tan hingga AS$145/ton.

 

"Kami jangkakan harga rujukan untuk forex, arang batu dan gas akan lebih tinggi di bawah RP4 seiring kenaikan harga global. Ini bermakna ICPT untuk kos tenaga yang kurang mendapat semula mungkin lebih kecil pada masa depan, mengurangkan turun naik pendapatan TNB," jelasnya.

 

Sementara itu, kata AmInvestment, kesan akses pihak ketiga (TPA) ke atas TNB dijangka kecil. 

 

"Kami percaya TNB tetap menjadi pilihan pengguna berdasarkan rekod prestasinya, pengalaman, dan kepakaran runcit.

 

"TNB mungkin mendapat faedah daripada caj bebas dari penggunaan rangkaian grid pihak ketiga. Maklumat lanjut mengenai TPA dijangka diumumkan pada September 2024. 

 

"Kami percaya IPP seperti Malakoff Corporation dan Edra Energy berminat dengan TPA ke grid," ujarnya.- DagangNews.com