Bakal disenarai di Pasaran ACE, Malacca Securities menilai harga saham 3REN pada 45 sen | DagangNews Skip to main content

Bakal disenarai di Pasaran ACE, Malacca Securities menilai harga saham 3REN pada 45 sen

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Okt - Malacca Securities memberikan nilai wajar kepada penyedia perkhidmatan rumusan automasi dan kejuruteraan, 3REN Bhd pada 45 sen sesaham.

 

Penilaian tanpa penarafan tersebut adalah lebih sebanyak 60.4% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 28 sen sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 6 November 2024. 

 

“Oleh itu, kami mengaitkan sasaran P/E sebanyak 20 kali ganda kepada EPS tahun kewangan 2025 (FY25), yang selaras dengan purata berat PER syarikat-syarikat setara dalam sektor itu.

 

"Nisbah P/E yang lebih rendah mencerminkan diskaun disebabkan permodalan pasaran 3REN yang lebih kecil berbanding rakan industri yang lebih besar," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu mengunjurkan CAGR pendapatan tiga tahun sebanyak 12% dengan untung bersih teras dijangka mencecah sehingga RM16.3 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

Ia akan disokong peningkatan kapasiti untuk perkhidmatan kejuruteraan produk termaju, yang difasilitasi oleh penubuhan daripada dua Pusat Penghantaran baharu dan pandangan yang menggalakkan dalam sektor semikonduktor, elektronik dan pembuatan global, disokong oleh penggunaan AI, IoT dan kilang pintar melalui teknologi Industri 4.0 dan 5.0.

 

Katanya, pangkalan pelanggan 3REN yang pelbagai, termasuk Intel, KellyOCG, dan pelbagai syarikat multinasional (MNC), berpeluang mendapat manfaat daripada strategi C+1 apabila MNC mempelbagaikan rantaian bekalan mereka di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang berterusan antara China dan AS.

 

Rancangan penubuhan pejabat jualan dan pemasaran di Singapura menjelang separuh pertama 2025, ditambah dengan pesanan terbaru daripada pelanggan Singapura, menyerlahkan keupayaan 3REN untuk mendapatkan projek tambahan di rantau ini.

 

"3REN juga mempunyai pendedahan global di luar Malaysia dengan kehadiran di negara-negara seperti Thailand, Singapura, Amerika Syarikat, China, Vietnam, Filipina, Kanada, Costa Rica, India, Mexico dan Taiwan 

 

Daripada jumlah dana yang diraih, sejumlah 62.3% daripada hasil IPO diperuntukkan untuk pengembangan perniagaan dan keperluan operasinya.

 

Daripada jumlah itu, 23.4% akan digunakan untuk menubuhkan pusat penghantaran baharu di Pulau Pinang yang direka bentuk untuk melaksanakan perkhidmatan kejuruteraan produk khusus yang berkaitan dengan reka bentuk dan pembangunan cip semikonduktor.

 

Sebanyak 16.6% akan digunakan untuk perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan termasuk penubuhan pusat inovasi bagi menyokong pembangunan rumusan dan peralatan
baharu/dipertingkatkan untuk segmen rumusan automasinya.

 

Sejumlah 9.7% lagi akan disalurkan ke arah penubuhan pejabat jualan di Singapura bagi meningkatkan kehadiran geografinya dan 12.7% adalah untuk modal kerja, terutamanya menambah bilangan jurutera dan tenaga kerja mahir yang lain.

 

Baki hasil IPO akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman dan penyenaraian perbelanjaan berkaitan.

 

KAF Investment Berhad merupakan penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO. - DagangNews.com