Crest Group beli hartanah perindustrian di Puchong berharga RM16.5 juta menempatkan ibu pejabat baharu | DagangNews Skip to main content

Crest Group beli hartanah perindustrian di Puchong berharga RM16.5 juta menempatkan ibu pejabat baharu

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 17 Dis - Syarikat pengimejan Crest Group Bhd, yang tersenarai di Pasaran ACE dua bulan lalu, membeli hartanah perindustrian di Puchong, Selangor berharga RM16.5 juta untuk menempatkan ibu pejabat baharunya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Crest berkata syarikat itu membeli hartanah tersebut daripada Oasis Harvest Corp Bhd, sebelum ini dikenali sebagai Dolphin International Bhd.

 

Hartanah itu, yang terdiri daripada sebuah kilang berkembar tiga tingkat dan bangunan tambahan pejabat tiga tingkat, terletak di atas tanah seluas 2,463 meter persegi.

 

Crest berkata ia merancang untuk menggunakan kemudahan itu sebagai ibu pejabat baharunya untuk menyatukan operasi di wilayah tengah.

 

Syarikat itu berkata harga pembelian itu dipersetujui atas dasar "sanggup-pembeli-sanggup-penjual" dan akan dibiayai melalui gabungan hasil daripada tawaran awam permulaan (IPO) dan dana yang dijana secara dalaman.

 

Bagaimanapun, menurut pemfailan Oasis Harvest, harga jualan RM16.5 juta adalah di bawah nilai buku bersih hartanah sebanyak RM20.05 juta pada 30 Jun 2024. Penjualan itu dijangka mengakibatkan kerugian pro forma bersih sebanyak RM3.85 juta.

 

 

Oasis Harvest

 

 

Oasis Harvest, yang berdepan kerugian, merancang untuk menggunakan hasil daripada pelupusan itu untuk membayar balik pinjaman bank, membiayai pemasaran dan acara outlet, dan menyokong keperluan modal kerja.

 

Perjanjian itu dijangka selesai pada suku kedua 2025. - DagangNews.com