Defisit fiskal Malaysia diunjur menyusut kepada 3.8% pada 2025 didorong pertumbuhan hasil mengatasi perbelanjaan operasi - CIMB Securities | DagangNews Skip to main content

Defisit fiskal Malaysia diunjur menyusut kepada 3.8% pada 2025 didorong pertumbuhan hasil mengatasi perbelanjaan operasi - CIMB Securities

KUALA LUMPUR 3 Okt - CIMB Securities Sdn Bhd mengunjurkan defisit fiskal menyusut kepada 3.8% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2025, berbanding anggaran sebelumnya iaitu 4.3%, didorong oleh pertumbuhan hasil kerajaan dijangka mengatasi perbelanjaan operasi (opex).

 

Katanya, opex diramalkan meningkat 3.1% kepada RM316 bilion dalam Belanjawan 2025, yang akan dibentangkan pada 18 Oktober 2024.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia adalah berbeza dengan bajet perbelanjaan pembangunan (DevEx) stabil sebanyak RM90 bilion kerana kerajaan mengekalkan tumpuan kepada projek infrastruktur dan pembangunan jangka panjang.

 

Sementara itu, CIMB Securities juga mengunjurkan hasil kerajaan meningkat sebanyak 4.6% kepada RM326 bilion pada 2025.

 

“Ini disokong oleh pertumbuhan KDNK yang kukuh, pengembangan liputan e-invois dan kutipan cukai pendapatan yang lebih kukuh berikutan gaji minimum yang lebih tinggi dan kadar pengangguran lebih rendah,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

CIMB Securities berkata, kemajuan dalam rasionalisasi subsidi dijangka menghasilkan lebihan semasa yang lebih tinggi sebanyak RM11 bilion tahun depan dan defisit fiskal yang lebih kecil sebanyak RM78 bilion atau 3.8% daripada KDNK.

 

“Sebelum ini, unjuran baki semasa yang tinggi dalam belanjawan asal adalah bertepatan dengan usaha penyatuan fiskal, seperti 2010 dan 2015. 

 

"Bagaimanapun, baki semasa sebenar cenderung lebih kecil disebabkan perbelanjaan yang lebih tinggi daripada Opex dengan mengorbankan DevEx,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, rasionalisasi subsidi kekal menjadi tumpuan kepada strategi belanjawan, dengan langkah-langkah mitigasi termasuk pemindahan tunai yang disasarkan, kenaikan gaji kakitangan awam dan gaji minimum yang lebih tinggi. 

 

Katanya, usaha itu mencerminkan komitmen kerajaan Madani dalam menangani kos sara hidup dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi.

 

CIMB Securities juga mengetengahkan cadangan untuk meluaskan asas hasil, termasuk pengembangan liputan e-invois, cukai minimum global sebanyak 15%, cukai ke atas minuman tinggi gula, dan mekanisme levi pekerja asing berbilang peringkat.- DagangNews.com