EA Technique sasar keluar dari PN17 menjelang suku pertama 2025  | DagangNews Skip to main content

EA Technique sasar keluar dari PN17 menjelang suku pertama 2025 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Okt - EA Technique Bhd, syarikat pengangkutan marin dan penyimpanan luar pesisir, menyasarkan untuk keluar dari status Nota Amalan 17 (PN17) menjelang suku pertama 2025. 

 

Ini berikutan kejayaan pelaksanaan pelan penyelarasan syarikat pada 2024 dan peningkatan yang konsisten dalam hasil dan keuntungan.

 

Menjelaskan tentang prospek syarikat, Pengarah Eksekutif EA Technique, Datuk Wira Mubarak Hussain Akhtar Husin berkata, industri pengangkutan marin dan penyimpanan luar pesisir sedang mengalami trend menaik dan EA Technique berada pada kedudukan yang baik.

 

EA Technique yang telah diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 akibat kemerosotan dalam ekuiti pemegang saham selepas menghadapi kemunduran yang disebabkan oleh rundingan yang berpanjangan.

 

Syarikat itu berkata, dengan penyiapan pelan penyelarasannya pada pertengahan 2024, EATech kini memberi tumpuan untuk mencapai dua suku tahunan yang menguntungkan berturut-turut.

 

EA Technique
Pengarah Eksekutif EA Technique, Datuk Wira Mubarak Hussain Akhtar Husin

 

"Sehingga 30 Jun 2024, EA Technique melaporkan hasil sebanyak RM61.81 juta, dengan margin keuntungan kasar sebanyak 41%, melebihi purata industri.

 

"Syarikat juga mencatatkan keuntungan teras sebanyak RM12.17 juta bagi separuh pertama 2024, mempamerkan keupayaannya untuk mengekalkan operasi yang menguntungkan.

 

"Prestasi kewangan ini disokong oleh buku pesanan yang kukuh, dengan kontrak firma bernilai RM136.3 juta dan kontrak pilihan tambahan bernilai RM281.2 juta, memberikan keterlihatan pendapatan Syarikat untuk tahun-tahun akan datang.

 

Wira Mubarak turut berkata, kadar penggunaan syarikat pada masa ini berada pada 97%.

 

"Dengan adanya kontrak utama, kami yakin dapat mencapai keuntungan yang berterusan. Ini akan membolehkan kami memenuhi syarat untuk keluar dari PN17,” katanya. 

 

Selain daripada kemasukan pemegang saham dan pemimpin baharu, termasuk Datuk Wira Mubarak dan Datuk Lai Keng Onn, pengambilalihan 51% kepentingan dalam syarikat melalui Voultier Sdn Bhd telah memainkan peranan penting dalam menstabilkan dan mengembangkan EA Technique.

 

Selain keluar dari PN17, EA Technique sedang mengejar peluang baharu secara agresif.

 

Syarikat sedang dalam peringkat akhir tender bagi beberapa kontrak bernilai tinggi, termasuk projek yang dijangkakan dengan Petronas untuk Nautica Tembikai FSO. 

 

Sementara itu, kumpulan itu juga telah mempelbagaikan pangkalan pelanggannya,mendaftar sebagai vendor dengan Brunei Shell dan membuka laluan baharu untuk memperoleh kontrak jangka panjang pada kadar sewa yang lebih tinggi.- DagangNews.com