KUALA LUMPUR 14 Okt - CIMB Securities meramalkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 5.1% tahun ke tahun (YoY) pada suku ketiga 2024.
Bagi tahun ini, firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pertumbuhannya pada 5.2% (2023: 3.6%), sedikit melebihi unjuran kerajaan iaitu 4% hingga 5%.
"Ia mencerminkan jangkaan kami terhadap pemulihan berterusan dalam permintaan luar yang didorong oleh kitaran naik teknologi global, bersama-sama dengan perbelanjaan domestik yang kukuh, disokong oleh pelaburan yang teguh dan perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Sementara itu, pertumbuhan indeks pengeluaran perindustrian (IPP) Malaysia berkembang 4.7% dari tahun ke tahun dalam dua bulan pertama suku ketiga 2024, yang mengatasi kadar 4.5% pada suku kedua tahun ini.
Ia disokong oleh pecutan dalam pertumbuhan pembuatan, penjanaan elektrik, tetapi dibebani oleh penurunan mendadak dalam pengeluaran perlombongan.
Memandang ke hadapan, CIMB Securities berkata, peningkatan dalam aktiviti perdagangan global dan permintaan domestik yang teguh dijangka mengekalkan momentum pemulihan perindustrian Malaysia.
"Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan S&P Global Malaysia, ukuran awal prestasi pembuatan, kekal disokong pada bacaan 49.5 pada Sept (Julai-Ogos: 49.7), menunjukkan pertumbuhan KDNK suku ketiga 2024 berterusan pada trajektori yang sama seperti yang dilihat pada suku kedua tahun ini.
"Selain itu, Malaysia terus mendapat manfaat daripada strategi China+1 yang berterusan, melibatkan syarikat global yang memindahkan operasi mereka dari China ke ekonomi serantau untuk mengemudi sekatan yang timbul daripada konflik perdagangan AS-China.
"Peralihan strategik ini telah menyebabkan FDI yang diluluskan meningkat sebanyak 23.2% kepada RM74.6 bilion pada separuh pertama 2024 selepas meningkat 15.4% pada 2023," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan volum perdagangan pengedaran bagi Julai hingga Ogos kekal disokong pada 4.7%, menyederhana sedikit daripada 4.9% pada suku kedua 2024, yang memberi petanda baik untuk aktiviti perkhidmatan pada suku ketiga tahun ini.
Katanya, peningkatan ketibaan dan penerimaan pelancong, bersama-sama dengan jualan kenderaan bermotor yang memberangsangkan, terus menyokong sektor perkhidmatan pada separuh kedua 2024, menyokong anggaran pertumbuhan sektor perkhidmatan 2024 mereka sebanyak 5.5%.
"Bagaimanapun, pertumbuhan dalam sektor pertanian dijangka sederhana disebabkan oleh kelembapan dalam pengeluaran minyak sawit mentah, yang diunjurkan menurun sebanyak 7% pada suku ketiga 2024," katanya.- DagangNews.com