Fibromat tawar IPO bagi pindah penyenaraian ke Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Fibromat tawar IPO bagi pindah penyenaraian ke Pasaran ACE Bursa Malaysia

Dengan IPO baharu itu, Fibromat merancang untuk membeli barang perkilangan tambahan untuk meningkatkan operasinya - Gambar hiasan dari laman web rasmi Fibromat
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Okt - Penyedia perkhidmatan geoteknikal dan pembuat produk kawalan hakisan, Fibromat Bhd memfailkan tawaran awam permulaan(IPO) sebagai sebahagian daripada pemindahan penyenaraiannya ke Pasaran ACE Bursa Malaysia, daripada Pasaran LEAP.

 

Menurut draf prospektus, kumpulan itu berkata, dana yang diperoleh semasa penyenaraiannya di Pasaran LEAP pada Mei 2019 telah digunakan habis. 

 

Dengan IPO baharu itu, Fibromat merancang untuk membeli barang perkilangan tambahan bagi meningkatkan operasinya bagi memudahkan pertumbuhan yang dijangkakan. 

 

Mesin jahit tambahan untuk kilang Rasa membolehkan syarikat itu menggandakan lebih daripada kapasiti semasa dan menghasilkan sehingga 101,340 gulung selimut kawalan hakisan setiap tahun, kata Fibromat.

 

Dalam senarai beli-belahnya juga terdapat pengumpul habuk, untuk disambungkan ke mesin jahitan.

 

"Selanjutnya, kami merancang untuk membeli jengkaut hidraulik bagi memudahkan pemasangan longkang pasang siap (PVD).

 

"Selebihnya akan digunakan sebagai modal kerja dan untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian," katanya. 

 

Syarikat berpangkalan di Selangor itu mengkhusus dalam kawalan hakisan, pembaikan tanah, serta kawalan sedimen, penapisan dan lapisan pembendungan. 

 

Tahun lepas, Fibromat menjana keuntungan bersih sebanyak RM8.49 juta daripada pendapatan RM68.3 juta.

 

IPO yang dicadangkan itu melibatkan terbitan awam sebanyak 32.28 juta saham baharu dan tawaran penjualan 24.83 juta saham sedia ada, pada harga yang akan ditentukan kemudian.

 

Di bawah terbitan awam, 12.41 juta saham akan diperuntukkan kepada orang awam Malaysia dan 6.21 juta saham kepada orang yang layak. 

 

Syarikat itu juga mengetepikan 13.66 juta saham kepada pelabur Bumiputera melalui penempatan persendirian.

 

Tawaran jualan itu pula melibatkan penempatan persendirian sebanyak 17.38 juta saham sedia ada serta kepada pelabur Bumiputera dan 7.45 juta saham kepada pelabur terpilih.

 

Sebarang hasil daripada penjualan saham sedia ada akan diserahkan sepenuhnya kepada Pengarah Urusan Fibromat, Ng Kian Boon, yang sahamnya akan dikurangkan kepada 63.7%.

 

Anak lelaki Kian Boon, Ng Chun Hou dan Ng Chun Yew masing-masing adalah Pengarah Eksekutif Fibromat dan Pengurus Operasi Kanan.

 

M&A Securities ialah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO tersebut. - DagangNews.com