Forest City lokasi ideal bagi Pejabat Keluarga Tunggal | DagangNews Skip to main content

Forest City lokasi ideal bagi Pejabat Keluarga Tunggal

Pakej Insentif Cukai Zon Kewangan Khas Forest City dijangka menarik banyak pelaburan asing untuk pembinaan Pejabat Keluarga Tunggal..
Oleh Shamsiah Zulkafli

ISKANDAR PUTERI 10 Okt - Pakej Insentif Cukai Zon Kewangan Khas Forest City (SFZ) yang diumumkan kerajaan Malaysia bakal menarik lebih banyak pelaburan asing sekali gus menjadikan kawasan itu hab buat 'Single Family Office' atau Pejabat Keluarga Tunggal (SFO).

 

Ini menjadikan Forest City lokasi ideal bagi tujuan itu apabila golongan berkenaan menunjukkan minat untuk membuat pelaburan dan menguruskan kekayaan mereka menerusi SFO.

 

forest city
Chee Pei Pei

 

Ketua Deloitte Private Malaysia, Chee Pei Pei berkata, antara pertimbangan lain termasuklah kestabilan politik dan ekonomi, kawal selia dan struktur perundangan yang jelas, bekalan tenaga kerja mahir, budaya tempatan, taraf hidup serta faktor ketersambungan.

 

"Pejabat Keluarga adalah sebuah entiti swasta yang menguruskan pelaburan dan harta keluarga-keluarga kaya. Forest City menjadi lokasi pertama seumpamanya di Malaysia yang menawarkan cukai 0% buat SFO.

 

forest city
Fang Fang

 

"Forest City juga dijangka menjadi hab perkhidmatan perniagaan kewangan global, teknologi kewangan (fintech) dan pengendali sistem pembayaran asing yang menyediakan kadar cukai khas sebanyak 5%. Kadar cukai pendapatan yang dikurangkan sebanyak 15% untuk golongan profesional mahir diyakini mampu menarik bakat selain mengekalkan bakat sedia ada," katanya dalam satu kenyataan.

 

Jelas Pei Pei, ditambah dengan pelaksanaan kawasan bebas cukai di Forest City SFZ, ia akan menjadi kelebihan unik buat Forest City sebagai pendorong kepada pembangunan ekonomi selatan Semenanjung Malaysia.

 

Tambahnya, pengumuman yang dibuat pada Forest City SFZ: Single Family Office Tax Incentive Scheme Seminar di Forest City baru-baru ini itu bukan sahaja mesra pelabur, tetapi juga mampu menarik rakyat Malaysia berkemahiran tinggi pulang ke tanah air. 

 

Beliau menyifatkan, semua itu ditambah dengan akses pendidikan dan penjagaan kesihatan berkualiti yang telah tersedia sesuai buat mereka yang mahu kehidupan berkualiti untuk menubuhkan SFO di situ.

 

Katanya lagi, keputusan menubuhkan Pejabat Keluarga di Forest City dijangka menarik minat ramai kerana pihaknya menawarkan pelbagai perkhidmatan sama pada kos lebih rendah berbanding di Singapura atau negara Asia lain.

 

"SFO yang dibangunkan di Forest City bukan bertujuan untuk bersaing dengan perkhidmatan telah tersedia lebih 10 tahun lalu seperti di Singapura, sebaliknya ia menawarkan perkhidmatan itu kepada pasaran khusus yang akan melengkapi negara-negara lain.

 

"Dengan pelancaran Forest City SFZ, kerajaan Malaysia telah mengambil langkah berani dalam merealisasikan inisiatif Kerangka Ekonomi Madani, sekali gus menjadikannya satu hab kewangan global bagi menarik tenaga kerja mahir dan menjadikan Forest City destinasi pelaburan pilihan," ujarnya.

 

Sementara itu, Pengurus Besar Jenama, Jualan dan Pemasaran Country Garden Malaysia-Singapura, Fang Fang pula berkata, infrastruktur sedia ada di Forest City sedia memenuhi keperluan pelaburan dan juga perniagaan yang selari dengan pengumuman Forest City SFZ.

 

Menurutnya, terdapat tiga cabang perniagaan utama di Forest City iaitu daerah perniagaan teras (melibatkan pusat kewangan Fasa 1 dan hab pengangkutan); daerah perniagaan bebas cukai (melibatkan perniagaan-perniagaan di laluan komersial) dan daerah perniagaan berasaskan komuniti (melibatkan perniagaan di kawasan perumahan).

 

"Daripada tiga cabang perniagaan itu, Pusat Kewangan Forest City Fasa 1 adalah pilihan utama bagi Pejabat Keluarga. Bangunannya adalah sebuah kompleks perniagaan antarabangsa dengan tingkat pertama hingga kelima merupakan ruang komersial. 

 

"Terdapat 800 ruang pejabat berukuran antara 43 hingga 289 meter persegi dari tingkat enam hingga 30 dan tingkat 43 hingga 45, manakala tingkat 31 hingga 42 menempatkan 300 unit kediaman pangsapuri berukuran antara 35 hingga 119 meter persegi," katanya.

 

Tambah beliau, Forest City juga telah melancarkan jualan unit komersialnya Ogos lalu dengan 80% daripadanya telah terjual dalam masa hanya satu jam. 

 

Katanya, jualan seterusnya akan dibuat pada 12 Oktober 2024 melibatkan unit yang terletak di Starview Bay dengan ukuran antara 28 hingga 482 meter persegi bagi memenuhi keperluan perniagaan yang pelbagai. - DagangNews.com