Inflasi utama dijangka stabil antara 2% hingga 2.3%, andaian rasionalisasi subsidi RON95 ditangguh hingga Disember 2024 - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Inflasi utama dijangka stabil antara 2% hingga 2.3%, andaian rasionalisasi subsidi RON95 ditangguh hingga Disember 2024 - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Sept - RHB Investment menjangkakan kadar inflasi utama akan stabil antara 2% hingga 2.3% bagi sepanjang tahun ini dengan andaian rasionalisasi subsidi RON95 ditangguhkan sehingga Disember 2024.

 

Katanya, pengangguhan itu akan mengehadkan kesan terhadap trajektori inflasi utama bagi 2024.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kerajaan mungkin menilai kesan kelewatan pelarasan harga diesel dan tindakan fiskal lain, seperti perubahan kepada cukai perkhidmatan dan tarif utiliti, terhadap inflasi dan ekonomi keseluruhan sebelum meneruskan rasionalisasi subsidi petrol RON95.

 

 

"Seperti dalam laporan baru-baru ini mengenai rasionalisasi subsidi RON95, setiap kenaikan 10 sen dalam harga runcit RON95 akan memeri peningkatan 0.3% ppt kepada purata inflasi tahunan.

 

"Apungan harga petrol RON95 mungkin mempunyai potensi kenaikan inflasi sebanyak 3.05% ppt (berdasarkan harga petrol RON95 tanpa subsidi RM3.30/liter pada 19 Jun berbanding harga runcit semasa RM2.05/liter).

 

ARTIKEL BERKAITAN: Harga pengguna Malaysia mereda kepada 1.9% pada Ogos, inflasi Pulau Pinang, Pahang tertinggi - DOSM

 

"Oleh itu, penyasaran semula rasionalisasi subsidi RON95 mungkin mengambil bentuk pendekatan berperingkat dan terukur, memandangkan kesannya yang besar terhadap trajektori inflasi dan potensi kesan lembapan terhadap perbelanjaan pengguna," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment berkata, trajektori inflasi bergantung kepada masa dan tahap rasionalisasi subsidi RON95, pertumbuhan Malaysia dan turun naik dalam harga komoditi serta makanan global.

 

Katanya, kenaikan gaji penjawat awam berkuat kuasa Disember 2024 juga boleh memberi tekanan ke atas inflasi.

 

"Kami akan kekal fokus terhadap sebarang langkah penyatuan fiskal yang berpotensi (termasuk butiran mengenai penyasaran semula subsidi RON95) yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2025, yang dijadualkan pada 18 Oktober 2024," katanya.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, Kadar Dasar Semalaman (OPR) berkemungkinan kekal pada paras 3.00% untuk 2024.

 

Katanya, kekurangan dorongan untuk bank pusat mengubah tahap kadar dasarnya pada tahun 2024. 

 

"Julat inflasi rasmi yang luas antara 2.0% hingga 3.5% sepatutnya menyediakan ruang yang mencukupi terhadap pergerakan harga masa hadapan," katanya. - DagangNews.com