microLEAP terima bahagian terbesar dana RM100 juta TERAJU, majukan landskap ekonomi Bumiputera | DagangNews Skip to main content

microLEAP terima bahagian terbesar dana RM100 juta TERAJU, majukan landskap ekonomi Bumiputera

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Okt - Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) memperuntukkan dana RM100 juta kepada platform pembiayaan antara-rakan-setara (P2P) dengan bahagian terbesar diberikan kepada microLEAP. 

 

Peruntukan yang merupakan sebahagian daripada Program Pembiayaan Projek Modal Kerja Islam (i-WCPF) itu mencerminkan keyakinan TERAJU terhadap peranan penting microLEAP dalam memajukan landskap ekonomi Bumiputera.

 

Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP, Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar berkata, pembiayaan tersebut merupakan detik penting baginya, kerana ia dapat memberi impak nyata kepada komuniti Bumiputera. 

 

Katanya, program i-WCPF yang disesuaikan khusus untuk perusahaan Bumiputera dapat menyediakan penyelesaian pembiayaan Islam inovatif, termasuk pembiayaan pra-invois dan pasca-invois berdasarkan prinsip Syariah Komoditi Murabahah melalui Tawarruq.

 

"Dana ini menyasarkan sektor-sektor berpotensi tinggi seperti, tetapi tidak terhad kepada, tenaga boleh diperbaharui (RE), teknologi & digital, elektrik & elektronik (E&E), pertanian & berasaskan agro dan industri logam nadir. 

 

"Saluran embiayaan itu akan membolehkan perniagaan mencapai pertumbuhan mampan dengan kadar keuntungan yang kompetitif serta mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan konvensional," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Walaupun microLEAP menerima peruntukan terbesar, platform ini mengakui kepentingan pertumbuhan kolektif dalam landskap pembiayaan P2P. 

 

Tunku Danny yakin pendekatan kerjesamanya dengan TERAJU akan memberi manfaat kepada perniagaan Bumiputera.  

 

Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi berkata, pelaburan itu sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama Malaysia 2021 sehingga 2030, sekali gus mengukuhkan komitmen TERAJU meneruskan berkhidmat kepada komuniti Bumiputera. 

 

"Melalui kerjasama seperti ini, kami bukan sahaja memberi sokongan kewangan tetapi juga membangunkan ekosistem yang kukuh di mana usahawan Bumiputera dapat berkembang maju dan menyumbang secara bermakna kepada kemakmuran Malaysia,” katanya.

 

Dengan pembiayaan sehingga RM1 juta untuk setiap transaksi selama tempoh 12 bulan dan kadar keuntungan yang kompetitif, penawaran microLEAP di bawah i-WCPF bersedia untuk mengubah akses kepada pembiayaan untuk perusahaan Bumiputera.

 

Dengan memacu pertumbuhan ekonomi, microLEAP dan TERAJU sedang membina asas kukuh untuk perniagaan Bumiputera dan membuka jalan bagi kemakmuran mampan di seluruh Malaysia.- DagangNews.com