MIDF Research kekal positif terhadap prospek Petronas Dagangan disokong projek bahan api penerbangan mampan | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekal positif terhadap prospek Petronas Dagangan disokong projek bahan api penerbangan mampan

Stesen Minyak Petronas Ayer Keroh - Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Okt - MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Petronas Dagangan Bhd (PDB) dengan harga sasaran (TP) RM24.63 berdasarkan keputusan pendapatan 3QFY24 yang diunjurkan positif disokong projek bahan api penerbangan mampan (SAF), pengembangan Cafe Mesra dan penyepaduan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV).

 

Firma penyelidikan itu mengunjurkan volum jualan yang lebih baik didorong oleh kekerapan perjalanan yang lebih jauh samasa musim cuti akhir tahun.

 

"Selain itu, inisiatif mobiliti hijau dan projek bahan api bersih kekal sebagai kelebihan pelaburan yang menarik dan sihat untuk kumpulan itu.

 

"Harga bahan api juga dijangka stabil secara relatif, berikutan purata harga minyak mentah Brent pada AS$ 73pb pada 3QFY24, jika tiada peningkatan konflik geopolitik Asia Barat  dan Eropah Timur, serta pilihan raya Amerika Syarikat yang akan datang," kata MIDF Research dalam satu nota penyelidikan.

 

MIDF Research turut mengunjur SAF akan terus menjadi sebahagian daripada usaha kemampanan kumpulan itu, walaupun menghadapi cabaran. 

 

“Namun begitu, PDB dijangka akan terus mendidik sektor penerbangan mengenai SAF dengan menjangkakan ia akan dikomersialkan sepenuhnya menjelang 2028," katanya.

 

Mengulas tentang perngembangan franchais Cafe Mesra, firma itu percaya sector itu akan mengembang secara positif dalam jangka panjang, memandangkan penggunaan kopi di Malaysia telah berkembang melebihi 75% sejak 2020.

 

Di samping itu, permintaan diesel runcit di tengah-tengah harga bersubsidi telah menurun tetapi secara keseluruhannya kekal sihat. 

 

"Kami menjangkakan peralihan daripada runcit kepada diesel komersial akan berterusan dalam masa terdekat, berdasarkan komitmen kerajaan mengawal selia harga diesel dan mengelakkan ketirisan.

 

“Berikutan program subsidi diesel kerajaan, kami percaya kemungkinan RON95 dikenakan rasionalisasi yang sama.

 

“Bagaimanapun, jika subsidi disasarkan ke atas bahan api RON9 dijalankan, kami menjangkakan margin keuntungan akan mempunyai sedikit atau tiada perubahan untuk PDB. 

 

"Sementara itu, kami percaya kupulan juga akan terus memerhatikan tingkah laku pelanggan berkenaan EV, kerana penggunaannya sangat bergantung pada kemampuannya, serta sentimen dan kesedaran untuk kelestarian alam sekitar," katanya.- DagangNews.com