KUALA LUMPUR 21 Nov - MIDF Research menyemak turun penarafan Petronas Chemicals Group (PCG), menetapkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) yang lebih rendah kepada RM4.89 daripada RM7.54 sesaham.
Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan 9MFY24 PCG lebih rendah daripada jangkaan, dengan pendapatan teras masuk pada 52% daripada anggarannya.
"Kami menyemak semula unjuran pendapatan kami berdasarkan kerugian tukaran mata wang asing (forex) yang tidak direalisasikan.
"Kerugian pertukaran forex itu dijangka pulih secara beransur-ansur dalam tempoh terdekat, tetapi kami juga berhati-hati kerana ia boleh berlanjutan sehingga awal FY25.
"Namun begitu, kami meramalkan permintaan yang baja lebih tinggi berikutan jangkaan iklim La Nina pada FY25, serta momentum lebih tinggi daripada sektor pengguna pada masa hadapan," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:Petronas Chemicals catat rugi bersih RM762 juta akibat pertukaran dolar AS lemah
Di samping itu, MIDF Research berkata, operasi Petronas Chemicals Group (PCG) dijangka kekal stabil disokong oleh perjanjian jualan gas sedia ada bagi pembekalan bahan mentah etana serta propana di PC Olefin.
Katanya, perjanjian lima tahun itu membuktikan kecekapan operasi serta bakal menyumbang kepada pertumbuhan syarikat.
"Pentauliahan loji pentaerythritol di Sayakha, India dan permulaan operasi komersial di Kompleks Petrokimia Pengerang dijangka meningkatkan permintaan petrokimia dalam jangka panjang.
“Namun begitu, kami berhati-hati terhadap subsektor itu, memandangkan ketegangan geopolitik yang berterusan, harga minyak yang tidak menentu dan pertukaran wang asing (forex) yang tidak menguntungkan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
"Kami percaya subsektor PCG akan berpulih tetapi pada kadar yang lebih perlahan daripada jangkaan," katanya. - DagangNews.com