Northeast Group diunjur jana pendapatan bersih RM20.8 juta pada FY25 didorong pasaran eksport kukuh - Rakuten Trade | DagangNews Skip to main content

Northeast Group diunjur jana pendapatan bersih RM20.8 juta pada FY25 didorong pasaran eksport kukuh - Rakuten Trade

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Okt - Rakuten Trade mengunjurkan Northeast Group Bhd mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM20.8 juta dan RM25.1 juta pada FY25 dan FY26 didorong pasaran eksportnya yang kukuh dan penawaran produk berkualiti tinggi.

 

Kumpulan yang bakal membuat penampilan sulung di Pasaran Bursa ACE pada 15 Oktober 2024 itu memegang baki tunai bersih yang kukuh sebanyak RM59 juta pada 30 Jun 2024.

 

Firma penyelidikan itu mengunjur Northeast Group terus mengekalkan kedudukan kewangan yang sihat, menyediakan peluang yang luas untuk pelaburan masa depan dan potensi pengambilalihan, sambil mengurangkan pergantungan hutang pihak luar.

 

"Northeast Group kini mengendalikan tiga kilang pembuatan di Pulau Pinang, dengan gabungan keluasan binaan seluas 208,468 kaki persegi.

 

"Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dan mengembangkan buku pesanannya, syarikat itu merancang untuk membina sebuah kilang baharu seluas kira-kira 79,020 kaki persegi.

 

"Kemudahan ini akan memuatkan 200 mesin CNC dan dijangka mula beroperasi pada suku pertama FY27. Jumlah pelaburan projek dianggarkan berjumlah RM50.4 juta, dengan RM40 juta dibiayai oleh hasil tawaran awam permulaan (IPO).

 

"Selain itu, RM12.4 juta telah diperuntukkan untuk memperoleh mesin CNC baharu bagi meningkatkan kapasiti operasi tahunan syarikat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, 70% daripada hasil syarikat itu didorong oleh eksport ke dalam pasaran antarabangsa seperti Amerika Syarikat,United Kingdom, Thailand dan Singapura. 

 

"Oleh itu, Northeast Group merancang untuk meningkatkan kehadirannya dengan memanfaatkan produk kejuruteraan ketepatan berkualiti tinggi dan mengukuhkan kedudukannya di pasaran melalui perkongsian strategik dan pemerolehan pelanggan di pasaran baru muncul.

 

"Sektor kejuruteraan ketepatan adalah penting kepada industri berteknologi tinggi seperti semikonduktor dan telekomunikasi dengan permintaan didorong oleh peningkatan 5G, kecerdasan minda (AI) dan kenderaan elektrik (EV).

 

"Aliran global dalam automasi dan pembuatan pintar juga mendorong keperluan komponen CNC termaju yang akan mewujudkan peluang pertumbuhan.

 

"Northeast berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan trend ini dengan menawarkan komponen ketepatan berkualiti tinggi yang memenuhi piawaian antarabangsa.

 

"Kami memberi saranan 'beli' dengan harga sasaran 61 sen sesaham, disokong oleh 30% daripada purata wajaran sektor iaitu 18x PER akibat pasarannya yang lebih kecil pada pendapatan sesahamnya (EPS) bagi FY26," katanya.- DagangNews.com