Pemegang saham AAX sokong pembelian aset penerbangan RM6.8 billion daripada Capital A | DagangNews Skip to main content

Pemegang saham AAX sokong pembelian aset penerbangan RM6.8 billion daripada Capital A

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Okt - Sejumlah 99.08% daripada pemegang saham AirAsia X (AAX) menyokong cadangan pembelian RM6.8 bilion unit operasi perniagaan penerbangan dalam AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL) dan AirAsia Berhad daripada Capital A Bhd. 

 

Pemegang saham AAX juga menyokong cadangan pengeluaran waran percuma, penempatan persendirian bagi meningkatkan hasil kasar RM1 bilion, pengurangan modal saham dan saham langganan semasa mesyuarat agung luar biasa (EGM), hari ini.

 

AAX berkata, pembelian itu dijangka selesai menjelang akhir tahun ini, tertakluk kepada kelulusan mahkamah dan kawal selia, kata AAX dalam satu kenyataan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pemegang saham Capital A setuju lupus perniagaan penerbangan kepada AAX, buka jalan keluar daripada status PN17

 

Pengerusi AAX, Datuk Fam Lee Ee berkata, pembelian itu akan memberikan akses kepada lebih 200 pesawat sedia ada dan 361 buku tempahan pesawat masa hadapan daripada portfolio penerbangan Capital A. 

 

"Dengan menggabungkan kedua-dua pesawat kecil dan besar ke dalam satu kumpulan, ia membolehkan kami meluaskan jangkauan merentasi jarak jauh dan sederhana.

 

"Selain itu, pembelian ini akan meningkatkan operasi kami dengan lebih cekap, menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada tetamu kami dan mengukuhkan kedudukan daya saing kami dalam pasaran utama," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail berkata, kumpulan itu akan mengutamakan pengembangan mampan, kecemerlangan operasi dan inovasinya bagi memastikan AirAsia terus menerajui pasaran penerbangan kos rendah.- DagangNews.com