Peningkatan kadar penggunaan kapal, Dayang diunjur catat keputusan lebih baik pada suku ketiga 2024 - Phillip Capital | DagangNews Skip to main content

Peningkatan kadar penggunaan kapal, Dayang diunjur catat keputusan lebih baik pada suku ketiga 2024 - Phillip Capital

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Okt - Phillip Capital mengunjurkan Dayang Enterprise Holdings Bhd mencatatkan keputusan yang lebih kukuh pada suku ketiga 2024 didorong pesanan kerja yang lebih tinggi selain peningkatan kadar penggunaan kapal.

 

Firma penyelidikan itu memahami, kumpulan itu merancang untuk membida tender penyahtauliahan platform luar pesisir baharu, yang akan dibahagikan kepada tiga pakej meliputi Semenanjung, Sarawak dan Sabah.

 

"Sama seperti skop kerja perkhidmatan sambungan dan pentauliahan bersepadu (HUC) dan penyelenggaran, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM), Sarawak menawarkan nilai kontrak terbesar berikutan bilangan platform luar pesisir yang besar di rantau ini.

 

"Kami percaya Dayang berpotensi mendapatkan pakej pekerjaan di Sarawak. Kontrak itu dijangka diberikan pada suku ketiga 2025, dengan kerja dijadualkan bermula pada 2026," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Phillip Capital berkata, pihaknya digalakkan oleh pakej MCM akan datang yang akan dianugerahkan oleh Petronas, yang dijangka menampilkan kadar yang lebih tinggi dan memacu pendapatan dan margin Dayang pada masa hadapan.

 

Katanya, pusingan pakej MCM ini mengecualikan bahagian kapal, menghasilkan saiz pakej perkhidmatan keseluruhan yang lebih besar berbanding 2017.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kadar perkhidmatan untuk kontrak baharu selama lima tahun dijangka 20% hingga 25% lebih tinggi daripada kontrak MCM yang dijamin pada 2017.

 

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran RM4.50 sesaham berdasarkan gandaan PE 16 kali ganda yang tidak berubah pada EPS 2025.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan beberapa risiko termasuk anugerah kontrak dan kelewatan pesanan kerja," katanya.- DagangNews.com