PLYTEC meterai 3 perjanjian pemasaran dan pengedaran bahan binaan bersama PT Oriental bagi pasaran Indonesia | DagangNews Skip to main content

PLYTEC meterai 3 perjanjian pemasaran dan pengedaran bahan binaan bersama PT Oriental bagi pasaran Indonesia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Okt - Penyedia rumusan serta perkhidmatan kejuruteraan pembinaan dan pengedaran bahan binaan, PLYTEC Holdings Bhd membuat penampilan sulung di pasaran Indonesia dengan memeterai tiga perjanjian pemasaran, pengedaran dengan PT Oriental Shoring Solutions (PT Oriental).

 

Menerusi perjanjian itu, PT Oriental akan menjadi pengedar eksklusif produk kumpulan itu di Indonesia, termasuk sistem acuan dan kerja konkrit, Wonder Board dan sistem Pecaform.

 

Perjanjian itu, ditandatangani melalui anak syarikatnya, Plytec Formwork System Industries Sdn. Bhd., Plytec Polymer Sdn. Bhd., dan Sudut Swasta Sdn. Bhd., berkuat kuasa untuk tempoh lima tahun mulai 16 Oktober 2024.

 

Langkah strategik ini sejajar dengan matlamat PLYTEC mengukuhkan kehadirannya di Asia Tenggara, menyediakan bahan binaan berkualiti tinggi dan sistem yang disesuaikan untuk memenuhi permintaan infrastruktur Indonesia yang semakin meningkat.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan PLYTEC, Yang Kian Lock berkata, perkongsian itu adalah lanjutan semula jadi daripada strategi pertumbuhan kumpulan untuk rantau Asia Tenggara.

 

"Kami teruja memasuki pasaran Indonesia, yang menawarkan potensi yang sangat besar. Kami yakin rangkaian pengedaran kukuh PT Oriental yang disokong oleh syarikat induknya, Oriental Castle Group akan membantu kami melakukannya dengan cepat.

 

"Salah satu unit perniagaan Oriental Castle Group bekerjasama dengan salah satu pengeluar keluli global terkemuka, ArcelorMittal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, menerusi perkongsian ini, PLYTEC menyasarkan untuk memperkenalkan rumusan inovatif untuk meningkatkan kecekapan pembinaan dan standard keselamatan di Indonesia.

 

Kumpulan juga akan menyediakan sokongan teknikal dan latihan lanjutan untuk jurutera tempatan untuk memastikan penyepaduan lancar sistem ini ke dalam projek mereka.

 

"Bersama PT Oriental, kami komited untuk mencipta pertumbuhan yang berkesan, mampan dan meneroka peluang yang lebih luas dalam pasaran antarabangsa," katanya. - DagangNews.com