KUALA LUMPUR 16 Okt - Standard Chartered Saadiq Malaysia memeterai langganan sukuk Murabahah berkaitan kemampanan pertamanya dengan Sunway Treasury Sukuk Sdn Bhd bernilai AS$110 juta.
Menurut satu kenyataan, urus niaga itu menandakan pembiayaan berstruktur Murabahah komoditi berkaitan kemampanan yang penting dalam sektor hartanah Asia.
"Selain ciri kemampanan, ia dilengkapi dengan pematuhan syariah dan fleksibiliti pembiayaan kadar berstruktur.
"Ciri kemampanan itu telah dicipta dengan dua petunjuk prestasi utama (KPI) yang mengukuhkan aspirasi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Sunway Group, termasuk pengambilan tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam operasi mereka.
"Kemudahan itu akan digunakan sebagai sebahagian daripada modal kerja Kumpulan Sunway, pelaburan luar negara dan keperluan perdagangan," katanya.
Ketua Pegawai Kewangan Sunway Group, Joyce Tan Wei Tze, berkata, kumpulan kekal teguh dalam komitmennya terhadap pembangunan mampan dengan mengambil bahagian secara aktif dalam penyelesaian pembiayaan ESG.
Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Saadiq Malaysia, Bilal Parvaiz juga berkata, ciri unik kemudahan tersebut sejajr dengan KPI alam sekitar dan sosial.
Di sampng itu, Ketua Jualan Korporat Pasaran Kewangan, Standard Chartered Malaysia, Adam Ng berkata, perjanjian itu menyokong komitmen kedua-dua pihak terhadap matlamat alam sekitar dan sosial masing-masing dan pembangunan berterusan produk pasaran kewangan patuh Syariah di rantau ini.
Sementara itu, Standard Chartered menggerakkan sebanyak AS$105 bilion khas untuk projek kemampanan dari Januari 2021 hingga Jun 2024.- DagangNews.com