RHB Investment ramal Bajet 2025 guna pendekatan seimbang pacu pembangunan ekonomi | DagangNews Skip to main content

RHB Investment ramal Bajet 2025 guna pendekatan seimbang pacu pembangunan ekonomi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Sept - RHB Investment meramalkan Bajet 2025 menggunakan pendekatan seimbang dengan menggabungkan kemampanan fiskal bersama inisiatif baharu untuk memacu pembangunan ekonomi. 

 

Katanya, bajet itu berkemungkinan adalah untuk menangani keperluan ekonomi segera, termasuk meningkatkan kemampanan fiskal dan pengukuhan jaringan keselamatan sosial selain meletakkan asas untuk pertumbuhan masa hadapan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, fokus kepada strategi itu ialah penekanan pada penambahbaikan infrastruktur, memupuk inovasi dan menyokong industri utama.

 

“Merujuk kepada perkembangan terkini, kami menjangkakan empat serampang utama yang mungkin ditangani dalam Bajet 2025, termasuk tanggungjawab fiskal dan pengurusan hutang, rangsangan ekonomi dan pembangunan infrastruktur, kebajikan sosial dan keterangkuman, dan terakhir, iklim perniagaan dan pelaburan,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Mengenai unjuran makroekonomi, RHB Invetment menjangkakan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kekal dalam julat 4% hingga 5%, dengan sasaran inflasi antara 2.5% dan 3.5%.

 

Selain itu, firma penyelidikan itu mengunjurkan pertumbuhan KDNK sekitar 4.7% pada 2025, berbanding 5% pada 2024, disokong sektor berorientasikan eksport seperti elektronik dan elektrik (E&E), tenaga dan barangan logam.

 

"Kami mengekalkan pandangan positif terhadap ekonomi, berdasarkan prospek global yang teguh, penerusan projek pemangkin berbilang tahun, perbelanjaan isi rumah dan perniagaan yang berdaya tahan serta pelaksanaan secara beransur-ansur usaha penyatuan fiskal," katanya.

 

Secara domestiknya, firma penyelidikan itu kekal optimis terhadap pertumbuhan penggunaan swasta Malaysia, disokong keadaan pasaran buruh yang kukuh.

 

Katanya, pengembangan berterusan dalam perbelanjaan pengguna dan aktiviti pelancongan yang lebih baik dijangka meningkatkan pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan, khususnya dalam penginapan dan restoran.

 

RHB Investment menjangkakan beberapa bentuk langkah penyatuan fiskal akan diperkenalkan dalam Bajet 2025, termasuk peningkatan hasil dan rasionalisasi perbelanjaan.

 

Katanya, sumber fiskal dijangka diperuntukkan dengan cara yang lebih disasarkan, mengutamakan bidang penting.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelaksanaan apungan harga diesel baru-baru ini di Semenanjung Malaysia akan menambah langkah penyatuan fiskal sedia ada, seperti semakan kepada cukai perkhidmatan dan tarif utiliti, yang dijangka meningkatkan kedudukan fiskal berbanding 2023.

 

“Kami menjangkakan kutipan hasil yang lebih tinggi akan dapat dicapai untuk 2024, disokong oleh peningkatan hasil kutipan cukai syarikat dan individu di tengah-tengah prospek ekonomi yang bertambah baik dan asas cukai yang lebih luas, ditambah dengan kecekapan yang dipertingkatkan,” katanya.- DagangNews.com