Permintaan segmen pembungkusan Scientex diramal lembap akibat persaingan harga China - TA Securities | DagangNews Skip to main content

Permintaan segmen pembungkusan Scientex diramal lembap akibat persaingan harga China - TA Securities

Scientex Bhd merupakan pengeluar pembungkusan global dan pemaju hartanah. -Gambar Scientex
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 25 Sept - Permintaan untuk segmen pembungkusan Scientex Berhad dijangka kekal lembap, terutama dalam pembungkusan pengguna, kata TA Securites.

 

Menurut firma penyelidikan itu, ini terutama disebabkan oleh persaingan harga daripada pemain China yang menawarkan harga yang lebih rendah. 

 

"Secara khusus, campuran jualan untuk pembungkusan pengguna dan industri adalah seimbang pada kira-kira 50% dalam tahun kewangan 2024 (FY24).

 

"Melihat ke hadapan, kami menjangkakan pemulihan secara beransur-ansur dalam permintaan untuk FY25, kerana kami telah melihat peningkatan dalam jumlah jualan keseluruhan sekitar 4.0% tahun ke tahun dalam FY24 yang mengimbangi sedikit penurunan dalam harga jualan purata (ASP)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Secara keseluruhan, TA Securities kekal positif terhadap prospek Scientex didorong oleh jualan yang segmen hartanah belum ditagih sebanyak RM1.8 bilion untuk FY25, nilai pembangunan kasar (GDV) yang berpotensi sebanyak RM50 bilion daripada jumlah bank tanahnya dan kadar pengambilan 80% untuk pelancaran dalam FY25. 

 

Oleh itu, firma penyelidikan itu menjangkakan margin Pendapatan Sebelum Faedah dan Cukai (EBIT) yang kukuh sebanyak 30.8% untuk FY25, berbanding 27.6% dalam FY24.

 

"Scientex melancarkan hartanah bernilai RM1.9 bilion dalam FY24, sedikit lebih rendah berbanding FY23 sebanyak RM2.1 billion disebabkan oleh kelewatan dalam mendapatkan kelulusan untuk pelbagai projek. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Scientex raih untung bersih RM545.2 juta, pendapatan RM4.5 bilion pada FY2024

 

"Walau bagaimanapun, kumpulan mencapai kadar pengambilan kira-kira 80%, menunjukkan permintaan yang kukuh untuk perumahan mampu milik. 

 

"Untuk FY25, pihak pengurusan menyasarkan pelancaran GDV yang lebih tinggi melebihi RM2.0 bilion, disokong oleh keluasan bank tanah seluas 10,277 ekar (+41.6% tahun ke tahun)," jelasnya.

 

dtm
Segmen hartanah beri sumbangan kukuh kepada Scientex Bhd dalam FY24.

 

Kata TA Securities, keuntungan bersih teras Scientex untuk FY24 meningkat sebanyak 15.7% tahun ke tahun kepada RM536.4 juta disokong oleh kenaikan pendapatan 9.8% kepada RM4.5 bilion. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, keputusan kewangan yang memberangsangkan ini terutamanya dipacu oleh prestasi yang baik dalam segmen hartanah. 

 

"EBIT segmen hartanah meningkat sebanyak 27.8% tahun ke tahun kepada RM518.5 juta, seiring dengan kenaikan 29.7% tahun ke tahun dalam jualan kepada RM1.9 bilion. 

 

"Ini adalah hasil daripada kemajuan penagihan yang stabil dan kadar pengambilan yang kukuh kira-kira 80% untuk pelancaran dalam FY24," jelasnya.

 

Sementara itu, menurut TA Securities, selepas memasukkan angka FY24, ramalan pendapatan teras FY25 dan FY26 Scientex masing-masing disemak naik sebanyak 0.2% dan 3.1%.

 

"Kami mengekalkan penarafan Beli ke atas Scientex dengan harga sasaran yang disemak naik kepada RM5.48 sesaham (sebelumnya: RM5.41/saham) berdasarkan penilaian Jumlah Bahagian (SOP)," ujarnya.- DagangNews.com