Solarvest, Finhero lancar rumusan fintech bagi pembiayaan solar pertama di Vietnam | DagangNews Skip to main content

Solarvest, Finhero lancar rumusan fintech bagi pembiayaan solar pertama di Vietnam

Oleh Shamsiah Zulkafli

HANOI 19 Nov - Pakar tenaga bersih terkemuka, Solarvest Holdings Berhad (Solarvest), melancarkan program pembiayaan solar Powervest di Vietnam untuk menyokong peralihan tenaga bersih dalam kalangan perusahaan negara tersebut.

 

Pelancaran itu berlangsung sempena program DEX Connex Vietnam 2024 yang dianjurkan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), dan menandakan satu langkah penting dalam peluasan wilayah Solarvest.

 

Berikutan pengenalan kerangka Perjanjian Pembelian Kuasa Langsung (DPPA), permintaan terhadap penyelesaian tenaga boleh diperbaharui telah meningkat dengan ketara dalam kalangan perusahaan Vietnam. 

 

Banyak syarikat di Vietnam kini beralih kepada penyelesaian tenaga lestari untuk penjimatan kos dan mencapai matlamat kelestarian mereka, namun kos permulaan yang tinggi bagi sistem solar fotovoltaik (PV) menjadi halangan utama.

 

Program Powervest Solarvest menawarkan dua pilihan pembiayaan utama iaitu Powerflex dan Powerlease yang direka untuk memenuhi keperluan kewangan yang berbeza bagi perniagaan di Vietnam.

 

Powerflex menyediakan pakej fleksibel tanpa kos permulaan, membolehkan perniagaan sama ada memiliki sepenuhnya sistem solar PV dengan pembiayaan 100% atau berkongsi pemilikan aset dengan Solarvest melalui pembiayaan 50%. 

 

Powerlease pula membolehkan syarikat menyewa sistem solar PV dan membeli elektrik yang dihasilkan pada tarif yang dipersetujui, melalui model DPPA.

 

Pengarah Pembangunan Perniagaan Solarvest Vietnam, Dang Khai Hoang, berkata, Powervest menyediakan penyelesaian yang tepat pada masanya dan praktikal untuk membiayai syarikat yang berminat menggunakan tenaga solar di Vietnam. 

 

"Program ini menawarkan model kewangan yang disesuaikan untuk memudahkan tenaga bersih yang lebih berpatutan dan mudah diakses oleh semua saiz perniagaan. 

 

"Solarvest telah berjaya melaksanakan model pembiayaan ini di Malaysia, dengan lebih 600MW pembangunan aset solar dalam saluran paip. Dengan menggunakan kepakaran ini, kami kini mengembangkan penyelesaian pembiayaan inovatif ini untuk menyokong permintaan tenaga boleh diperbaharui yang semakin meningkat di Vietnam," katanya dalam satu kenyataan. 

 

Pada persidangan tersebut, Solarvest melalui entitinya di Vietnam, Solarvest (Vietnam) Company Limited, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat fintech dari Malaysia, Finhero, untuk meningkatkan tawaran Powervest melalui teknologi canggih. 

 

Pertukaran MoU itu, yang disaksikan oleh Konsul Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh City,, Firdauz Othman, merasmikan kerjasama untuk memperkenalkan platform fintech pembiayaan solar pertama di Vietnam. 

 

Teknologi berkenaan memudahkan dan mempercepatkan permohonan pembiayaan, membolehkan akses pembiayaan solar untuk perniagaan di Vietnam.

 

Pengasas Bersama dan CEO Finhero, Top Lim berkata, dengan mengintegrasikan teknologinya, pelanggan Solarvest boleh mengemukakan dokumen kewangan mereka untuk penilaian kredit percuma dan mendapatkan nasihat kewangan mengenai pelaburan solar PV daripada pelbagai sumber. 

 

"Inovasi ini membawa syarikat-syarikat di Vietnam lebih dekat kepada masa depan lestari, di mana penerimaan tenaga boleh diperbaharui menjadi lebih mudah dan boleh diakses," ujarnya. 

 

CEO MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, pihaknya komited untuk memupuk kerjasama merentas sempadan yang mendorong inovasi dan kelestarian, terutamanya melalui program DEX Connex. 

 

"Inisiatif ini menyediakan platform penting bagi syarikat Malaysia untuk bekerjasama, berinovasi dan membina perkongsian kukuh dalam ekosistem teknologi dinamik Vietnam. 

 

"Program Powervest oleh Solarvest memperlihatkan bagaimana kepakaran Malaysia boleh menyumbang kepada pertumbuhan tenaga hijau Vietnam dan menyokong perniagaan dalam mengadopsi penyelesaian tenaga lestari," ujarnya.

 

Solarvest (Vietnam) Company Limited merupakan anak syarikat Solarvest Holding Berhad, pemaju tenaga bersih yang diasaskan di Malaysia dengan kehadiran antarabangsa di lapan negara Asia-Pasifik.

 

Syarikat itu adalah penyedia penyelesaian sistem fotovoltaik solar sehenti untuk kediaman, komersial & industri dan ladang solar berskala utiliti. 

 

Kini, Kumpulan Solarvest telah mengumpulkan portfolio tenaga boleh diperbaharui lebih daripada 1,300MW. - DagangNews.com