Standard Chartered lantik Harmander Mahal sebagai Ketua Perbankan Kekayaan dan Runcit Malaysia, Indonesia | DagangNews Skip to main content

Standard Chartered lantik Harmander Mahal sebagai Ketua Perbankan Kekayaan dan Runcit Malaysia, Indonesia

Ketua Perbankan Kekayaan dan Runcit (WRB) Malaysia, Indonesia, Standard Chartered, Harmander Mahal
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Okt - Standard Chartered melantik Harmander Mahal sebagai Ketua Perbankan Kekayaan dan Runcit (WRB) Malaysia dan Indonesia berkuat kuasa hari ini.

 

Menerusi peranan baharunya, Harmander bertanggungjawab untuk memacu strategi WRB dalam kedua-dua pasaran Malaysia dan Indonesia.

 

Beliau akan melaporkan diri kepada Ketua WRB Singapura, ASEAN dan Asia Selatan, Andrew Chia dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Mak Joon Nien.

 

Sebelum memegang jawatan baharunya, beliau merupakan  Ketua WRB kluster Vietnam dan Asia, di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengembangkan francais Vietnam sejak tujuh tahun lalu.

 

Harmander telah berkhidmat dengan Standard Chartered sejak 2015, dengan memegang jawatan sebagai Ketua Serantau Segmen Perbankan Runcit dan Analitis di Singapura sebelum menjawat jawatan Ketua Perbankan Runcit di Vietnam pada 2017.

 

Beliau menggantikan Sammeer Sharma, yang akan mengejar peluang lain selepas berkhidmat di bank itu selama 22 tahun.

 

Sameer telah memegang jawatan sebagai Ketua WRB Malaysia sejak 2021 dan memainkan peranan penting dalam mengubah WRB menjadi pertumbuhan yang menguntungkan.

 

Mengulas tentang pelantikan Harmander, Joon Nien yakin beliau akan menjadi aset tidak ternilai dalam mengemudi prestasi WRB di Malaysia, dan juga Indonesia.

 

"Kepimpinan yang kukuh dan tumpuan pelanggannya akan membolehkan kami memperdalam hubungan pelanggan kami dan mengukuhkan lagi kehadiran WRB Bank di kedua-dua negara, terutamanya dalam fokus utama kami pada segmen kekayaan dan kemewahan.

 

“Bagi pihak Standard Chartered, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Sammeer atas kepimpinan dan sumbangannya kepada WRB Malaysia dan mendoakan yang terbaik untuk beliau dalam usaha masa depannya,” katanya.- DagangNews.com