Stargrower raih dana RM3 juta melalui Ata Plus, 300% melebihi sasaran  | DagangNews Skip to main content

Stargrower raih dana RM3 juta melalui Ata Plus, 300% melebihi sasaran 

Ladang buah naga Stargrower - Gambar hiasan dari laman web rasmi Ata Plus
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Sept - Stargrower Sdn Bhd, sebuah perniagaan agribisnes perintis yang memberi tumpuan kepada tanaman buah naga dan halia meraih dana lebih RM3 juta, iaitu 300% lebih dari sasarannya bagi memperluaskan operasi syarikat dari lima ke 28 hektar di Sepang, Selangor.

 

Stragrower berkata, dana itu dikumpul daripada 17 pelabur melalui Ata Plus Sdn Bhd, sebuah platform Equity Crowdfunding (ECF) yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC). 

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat, Seow Kim Chin, atau KC, merupakan usahawan muda berusia 28 tahun yang berminat dalam bidang pertanian.

 

Beliau berkata, visi Stargrower yang berpaksikan kepada kepercayaan yang mendalam terhadap potensi sektor pertanian di Malaysia, khususnya dalam penanaman buah naga dan halia secara tradisional. 

 

"Kedua-dua tanaman ini mempunyai permintaan yang tinggi dan margin keuntungan yang besar, sekali gus memberikan hasil lumayan bagi jangka panjang.

 

"Sebagai contoh, pokok buah naga dapat memberi pendapatan yang stabil dan lumayan bagi usahawan tani kerana ia mengambil masa 14 bulan untuk matang dan akan terus berbuah sehingga 10 tahun, ditambah pula dengan permintaan berterusan daripada para pembeli pukal," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

nnn
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Stargrower,  Seow Kim Chin

 

Beliau juga menekankan inisiatif kerajaan, program Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) yang menawarkan dana padanan ECF. 

 

"Ia adalah pemangkin bagi usahawan muda seperti saya untuk mengejar impian kami dalam mengubah sektor pertanian," katanya.

 

MYCIF merupakan sebuah dana pelaburan bersama bagi platform pembiayaan alternatif bagi meningkatkan pertumbuhan sektor perniagaan. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Ata Plus, Elain Lockman berkata, sektor pertanian bukan sahaja berpotensi tinggi dan menguntungkan tetapi, ianya juga amat penting untuk negara.

 

"Kami harap lebih ramai belia akan sedar tentang potensi dalam bidang ini memandangkan kita mempunyai tanah yang luas di seluruh negara dan sokongan padu serta insentif yang diberi dari pihak kerajaan, seperti MYCIF," katanya. - DagangNews.com