KUALA LUMPUR 30 Dis - Tawaran awam permulaan (IPO) syarikat perkhidmatan industri, Swift Energy Technology Bhd, menerima langganan melebihi 58.09 kali bagi 50.04 juta saham baharu yang ditawarkan kepada orang ramai.
Syarikat yang beroperasi di Selangor itu bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 8 Januari 2025.
Jumlah saham berkenaan adalah sebahagian daripada 250.20 juta saham baharu di bawah IPO, selain daripada penjualan 50.04 juta saham sedia ada melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Firma penerbitan, Tricor Investor & Issuing House Services Sdn Bhd (Tricor) berkata, pihaknya menerima 24,041 permohonan untuk 2.96 bilion saham bernilai RM827.91 juta daripada orang ramai di Malaysia bagi 50.04 juta saham yang diterbitkan pada harga 28 sen sesaham.
"Bahagian Bumiputera telah dilanggan melebihi 49.99 kali, dengan 12,048 permohonan untuk 1.28 bilion saham diterima, manakala bahagian awam pula mencatatkan 11,993 permohonan untuk 1.68 bilion saham, yang mewakili kadar langganan berlebihan sebanyak 66.19 kali," jelas firma itu dalam satu kenyataan.
Menurut Tricor, sebanyak 50.04 juta lagi saham baharu disediakan untuk permohonan oleh pekerja yang layak dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat.
Tambahnya, sebanyak 125.10 juta saham baharu ditempatkan sepenuhnya kepada pelabur Bumiputera, manakala 25.02 juta saham baharu ditempatkan sepenuhnya kepada pelabur terpilih.
Ia berkata, notis akan dihantar kepada semua pemohon berjaya pada 6 Januari ini.
Swift Energy berhasrat untuk mengumpul dana sebanyak RM70.06 juta melalui penerbitan 250.20 juta saham baharu pada harga 28 sen setiap satu, yang mewakili 25% daripada modal saham yang diperbesarkan syarikat tersebut.
Tawaran untuk jualan sebanyak 50.04 juta saham dijangka menghasilkan RM14.01 juta, yang akan disalurkan kepada pemegang saham Blueprint Capital Sdn Bhd, sebuah syarikat yang sebahagian besarnya dikawal oleh Ketua Pegawai Eksekutif Swift Energy, Tan Bin Chee dan Pengarah Hal Ehwal Korporat, Suzana Abu Bakar.
Setelah disenaraikan, Swift Energy dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM280.22 juta, berdasarkan harga terbitan 28 sen sesaham dan modal saham yang diperbesarkan melebihi satu bilion saham.
Swift Energy terlibat dalam automasi industri dan sistem kuasa, dengan kepakaran dalam kawalan proses, panel solar fotovoltaik, pengagihan kuasa dan sistem lain untuk industri seperti minyak dan gas, produk bijirin, minyak makan dan pembuatan makanan.
Syarikat mempunyai pejabat di Thailand, Singapura dan China, serta memiliki lebih 550 pelanggan di 29 pasaran merangkumi Asia Pasifik, Asia Barat, Afrika dan Eropah.
Pada FY2023, syarikat mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM11.95 juta.
M&A Securities adalah penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan untuk IPO berkenaan. - DagangNews.com