UOB Malaysia komited peruntukan RM1 bilion biayai usaha pengurangan karbon dan peralihan tenaga pembekal Petronas | DagangNews Skip to main content

UOB Malaysia komited peruntukan RM1 bilion biayai usaha pengurangan karbon dan peralihan tenaga pembekal Petronas

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 14 Okt - United Overseas Bank (M) Bhd (UOB Malaysia) memperuntukkan sehingga RM1 bilion untuk membiayai pembekal perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) di bawah Program Sokongan Pembekal PETRONAS (PSSP).

 

Pembiayaan itu adalah sebahagian daripada Program Pembiayaan Vendor Lestari (SVFP) yang baru dilancarkan oleh bank tersebut, yang bertujuan untuk menyokong usaha pengurangan karbon dan peralihan tenaga dalam sektor ini.

 

UOB Malaysia, dalam satu kenyataan berkata, SVFP menawarkan penyelesaian pembiayaan peralihan dengan kadar yang kompetitif untuk syarikat OGSE yang menyertai PSSP. 

 

UOB
Ng Wei Wei

 

Ia juga menyediakan insentif untuk membantu syarikat-syarikat tersebut memulakan usaha pengurangan karbon, seperti mengguna pakai tenaga boleh diperbaharui, meningkatkan kecekapan tenaga, mengurangkan pengeluaran karbon dan menukar sistem kepada elektrik untuk mengurangkan penggunaan bahan bakar fosil armada mereka.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, pelancaran SVFP mencerminkan komitmen bank untuk membantu sektor OGSE Malaysia beralih ke arah kelestarian.

 

"Sebagai rakan kongsi berharga Petronas, kami berbesar hati untuk memberikan sokongan kepada pembekalnya, yang kebanyakannya adalah perusahaan kecil dan sederhana, untuk membantu mereka memulakan perjalanan pengurangan karbon.

 

"Ini juga akan membantu sektor OGSE negara kekal kompetitif dalam rantaian nilai global, dengan jangkaan yang meningkat terhadap peraturan berkaitan ESG yang sedang dilaksanakan di seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan.

 

SVFP juga memperkenalkan langkah-langkah untuk syarikat OGSE menjejak dan menunjukkan kemajuan dalam amalan lestari mereka, termasuk melengkapkan modul pembinaan kapasiti, menetapkan laporan gas rumah kaca (GHG) asas dan menunjukkan pengurangan GHG tahunan. - DagangNews.com