Teruskan projek LCS bantu kukuhkan aset TLDM | DagangNews Skip to main content

Teruskan projek LCS bantu kukuhkan aset TLDM

oleh ABDUL WAHID

SEJAK berdekad lagi kemampuan negara untuk mempertahankan perairan negara dengan aset yang sedia ada telah menjadi tanda tanya.

 

Walaupun kita mempunyai ribuan kilometer pantai dan Laut China Selatan yang cukup luas untuk kita ronda dan awasi, memang aset tentera laut kita tidak mencukupi dan kekangan kewangan adalah salah satu punca masalah ini.



Sebagai seorang bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia, saya cukup gembira bahawa masalah ini dilihat secara serius, dengan keputusan kerajaan untuk meneruskan perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS).

 

TLDM kini akan dapat menggunakan aset yang moden ini untuk menjamin keselamatan negara untuk masa depan yang mungkin memberi pelbagai cabaran.

 

Dalam keputusan Kabinet baru-baru ini untuk meneruskan projek perolehan LCS, kini jelas bahawa sekuriti maritim telah diutamakan kerana kapal LCS sememangnya aset yang amat diperlukan oleh TLDM . Tahniah diucapkan kepada Kabinet, terutamanya Kementerian Pertahanan!

 

Adalah penting untuk kita meningkatkan kesiapsiagaan armada tentera laut untuk memelihara kepentingan maritim negara dan juga merupakan satu langkah yang strategik untuk menjamin keselamatan negara.

 

Keputusan Kabinet ini pasti meningkatkan lagi moral dan semangat anggota TLDM untuk terus berjuang demi kedaulatan tanah air.


 

LCS

 


Mungkin akan ada pihak yang akan mempertikaikan keputusan ini tetapi mereka wajar diingati bahawa dalam tempoh 10 tahun dari 2010 ke 2020, perbelanjaan Malaysia untuk aset ketenteraan hanya AS$1.426 bilion (RM5.98b).

 

Jika dibandingkan dengan negara-negara Asia Tenggara yang lain, Malaysia hanya menduduki tempat keenam.

 

Menurut data Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI), Vietnam membelanjakan RM28.78b, Singapura (RM24.84b), Indonesia (RM22.91b), Thailand (RM12.21b) dan Myanmar (RM11.33b).

 

Ini telah mewujudkan persoalan adakah kita bersedia untuk menangani apa jua isu sekuriti yang mungkin timbul.

 

Ketiadaan kapal laut berteknologi canggih dan berkesan, hanya akan menyebabkan TLDM jauh ketinggalan berbanding angkatan laut negara-negara lain.

 

Kita sering dengar tentang pencerobohan kapal asing terutamanya di Laut China Selatan serta aktiviti ketenteraan yang kian meningkat di perairan ini.
Dengan Amerika Syarikat dan China kian bercanggah pendapat dalam pelbagai isu, Laut China Selatan telah menjadi medan pertarungan untuk menunjukkan kekuatan mereka.

 

Dalam keadaan ini, adakah kita hanya akan berdiam diri dan hanya menjadi penonton?

 

Adakah kita mempunyai kekuatan tentera untuk mempertahankan kedaulatan negara?


 

parafrasa

 

 

Konflik Rusia-Ukraine juga perlu diambil sebagai satu iktibar untuk kita mempunyai tentera yang kuat.

 

Keputusan untuk meneruskan perolehan LCS ini juga sedikit sebanyak akan membantu negara dalam memperbaiki kekuatan tentera laut kita.  

 

Tanpa perolehan aset moden seperti LCS, TLDM akan tetap berada dalam keadaan overstretched dan ini akan memaksanya untuk menggunakan aset yang tidak sesuai dari segi umur, jenis dan keupayaan kapal.

 

Jika projek LCS tidak diteruskan seperti yang diputuskan oleh Kabinet, perancangan untuk menaik taraf kesiapsiagaan TLDM akan terkubur.

 

Saya juga maklum tentang hasrat TLDM membeli tiga lagi kapal misi pesisir (LMS). Ini merupakan langkah yang baik tetapi berbanding LCS, kapal LMS jauh lebih kecil dan mempunyai keupayaan terhad.

 

Sebagai bekas anggota TLDM, saya memahami keupayaan LMS amat berbeza dengan LCS yang jelas mempunyai peranan yang lebih besar dalam strategi ketenteraan.

 

 

parafrasa

 

 

Ramai mungkin tidak melihat gambaran yang lebih besar, iaitu keselamatan maritim negara kita.

 

Mereka cuma melihat pelbagai masalah yang timbul dalam perolehan LCS, tetapi itu adalah satu perkara lain yang pihak berkenaan wajar memberi perhatian juga.

 

Tetapi tidak dapat dinafikan kepentingannya dalam soal pertahanan jika keselamatan negara terancam.

 

Perlu kita ingat bahawa kapal tempur LCS ini bakal digunakan selama lebih 20 tahun dan ia juga boleh dinaiktaraf untuk melanjutkan tempoh pengoperasiannya.

 

Dengan adanya kapal LCS ini, TLDM akan dapat memainkan peranannya dengan penuh bangga dan efektif. – DagangNews.com

 

Abdul Wahid adalah pesara TLDM