KUALA LUMPUR 27 Okt - TM One dilantik sebagai rakan strategik infrastruktur digital bagi Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC).
Menerusi kerjasama itu, SDEC dan TM One akan bekerjasama untuk mengenal pasti dan melaksanakan rumusan digital yang akan merealisasikan aspirasi yang dibentangkan dalam Strategi Ekonomi Digital Sarawak dan Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030.
Inisiatif bersama itu bertujuan meningkatkan akses dan penggunaan perkhidmatan digital di Sarawak, merapatkan jurang digital dan memperkasa keterangkuman digital yang lebih meluas dalam kalangan rakyat Sarawak.
Dengan memanfaatkan perkhidmatan rangkaian terurusnya, TM One akan memperkasakan projek Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART) untuk masyarakat luar bandar.
Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abd. Karim berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan SDEC dan berkhidmat sebagai rakan strategiknya bagi memperkasakan aspirasi digital Sarawak.
"Kami yakin dalam memenuhi keperluan rantau ini bukan sahaja melalui rumusan kami, tetapi juga dengan rakan teknologi tempatan dan antarabangsa bagi menyampaikan rumusan termaju kepada pelbagai sektor.
“Kami berharap dapat bekerjasama dengan SDEC dalam mencipta inovasi dan peluang pertumbuhan bersama yang akan menggerakkan masyarakat, perniagaan dan kerajaan digital, mendorong Sarawak ke arah fasa kemajuan digital dan pembangunan ekonomi yang seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Ir. Sudarnoto Osman berkata, kerjasama itu membolehkan pihak terlibat memanfaatkan kemahiran masing-masing dan bekerjasama untuk membuka peluang baharu.
"Ia bertujuan memberi manfaatkepada masyarakat khususnya infrastruktur negeri, dan seterusnya meningkatkan akses kepada perkhidmatan dan maklumat digital serta meningkatkan pengalaman dalam talian dan menambah baik peluang rakyat Sarawak dalam ekonomi digital,” katanya.
Ekonomi digital Sarawak dijangka menyumbang RM56.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak menjelang 2030, TM One dan SDEC juga menyasarkan untuk meningkatkan kesedaran dan membolehkan transformasi digital syarikat dan perusahaan swasta melalui teknologi IR 4.0. - DagangNews.com