TNB sumbang RM250,000 bantu mangsa banjir Pahang | DagangNews Skip to main content

TNB sumbang RM250,000 bantu mangsa banjir Pahang

TNB sumbang RM250,000 bantu mangsa banjir Pahang

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Jan. -  Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi sumbangan berjumlah RM250,000 kepada Kerajaan Negeri Pahang bagi membantu mangsa banjir di negeri itu.

 

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kunjungan hormat di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini. 

 

TNB berkata, sumbangan tersebut adalah sebagai sebahagian Tanggungjawab Sosial Korporat TNB bagi meringankan beban mangsa banjir yang terjejas teruk. 

 

Mahdzir Khalid yang berada di Pahang hari ini  menjalankan lawatan kerja termasuk menghadiri taklimat situasi banjir di Stesen Pencawang Masuk Utama (PMU) Kuantan Utara.

 

Beliau berkata, TNB telah menutup sejumlah 306 pencawang elektrik di negeri Pahang sejak bencana banjir melanda negeri tersebut.

 

Jelasnya, daerah Temerloh yang paling teruk terjejas, mencatat jumlah paling tinggi iaitu 65 pencawang ditutup.

 

"Tenaga Nasional telah berusaha untuk memperbaiki ataupun mendapatkan semula bekalan elektrik di semua kawasan di semua daerah yang terlibat dengan banjir ini... Pihak TNB telah berusaha untuk buka dalam tempoh tiga hari ni dari empat hari sudah, TNB sedang berusaha dan sekarang ini yang berbaki 106 di negeri Pahang.

 

"Tindakan menutup pencawang itu perlu bagi memastikan keselamatan pengguna dan mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku.  

 

"TNB juga mengambil langkah tambahan dengan membekalkan set generator ke kawasan-kawasan terjejas banjir termasuk di Pusat Pemindahan Sementara (PPS)," katanya selepas menghadiri taklimat tersebut.

 

Hingga kini, TNB telah membekalkan genset besar 8 di kebanyakan tempat untuk pembekalan sementara elektrik dan juga membekalkan genset-genset kecil yang dihantar.

 

Mengulas berkaitan masalah bekalan elektrik di semua kawasan banjir, beliau berkata, TNB hanya menutup pencawang di kawasan yang terjejas banjir sahaja.

 

“Tentang beberapa perkara yang ditularkan, jadi saya kira bahawa apa pun berkaitan dengan TNB ini eloklah rayuan saya kepada masyarakat supaya merujuk kepada kenyataan rasmi daripada TNB, contoh dikatakan TNB akan tutup bekalan elektrik, jadi yang ditulis dalam media tu sila sediakan lilin, sediakan lain-lain cara lah untuk bekalan di rumah, saya nak katakan bahawa itu adalah kenyataan yang tak betul.

 

"TNB juga tidak melepaskan air di empangan kendaliannya di Cameron Highland yang menyebabkan keadaan banjir di negeri Pahang bertambah buruk," tegas beliau lagi.

 

Dalam lawatan kerja itu, beliau turut menziarah rumah kakitangan TNB yang turut menjadi mangsa banjir serta menyampaikan sumbangan. - DagangNews.com