TNB ulangi peringatan MESRA berdepan banjir | DagangNews Skip to main content

TNB ulangi peringatan MESRA berdepan banjir

 

 

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyarankan orang ramai di kawasan banjir untuk mengamalkan nasihat dan panduan keselamatan elektrik berikut demi keselamatan.

 

Ketika banjir

  • Apabila premis dinaiki air, hindari penggunaan sebarang peralatan elektrik dan pastikan suis utama ditutup bagi mengurangkan kemungkinan renjatan elektrik berlaku

 

  • Hubungi pejabat TNB yang berdekatan, TNB CareLine 15454 atau Facebook TNB Careline sebaik paras air meningkat supaya bekalan elektrik boleh diputuskan segera di kawasan terlibat

 

  • Jangan menyentuh mana-mana peralatan atau kabel elektrik yang terendam dalam air banjir walaupun ia bersalut dengan penebat

 

  • Sebelum berpindah, matikan bekalan masuk utama di papan agihan dengan menutup suis utama

 

  • Pastikan semua suis di soket alir keluar ditutup dan tanggalkan palam kuasa peralatan elektrik

 

  • Sekiranya premis dipasang dengan sistem solar PV, matikan sistem tersebut sebelum anda keluar dari rumah bagi mengelakkan bekalan suap balik ke sistem pendawaian rumah anda

 

  • Hindari daripada menyentuh mana-mana tiang besi yang ditenggelami air bagi mengelak risiko terkena renjatan elektrik

 

Selepas banjir

 

  • Sebelum membersihkan peralatan elektrik atau pendawaian rumah, pastikan suis utama pada papan agihan telah ditutup

 

  • Pastikan suis elektrik dan perkakas elektrik yang terendam dalam air banjir diperiksa dan diuji terlebih dahulu oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga sebelum digunakan semula

 

  • Jangan menyentuh, memotong atau menarik dahan pokok yang jatuh menimpa talian elektrik kerana ia mungkin masih menyalurkan bekalan elektrik. Maklumkan kepada TNB untuk tindakan segera

 

  • Jangan sekali-kali menggunakan tangga atau galah berhampiran dengan talian elektrik

 

Selain itu, ibu bapa perlu mengawasi pergerakan anak-anak mereka supaya tidak menghampiri tiang elektrik yang tumbang dan kabel elektrik yang putus semasa banjir.

 

Pengguna juga boleh menghubungi TNB sekiranya ternampak kejanggalan berkaitan pepasangan TNB yang terkesan akibat banjir.

 

Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik, orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB CareLine. - DagangNews.com