Total Dynamic terima kelulusan penyenaraian Pasaran LEAP Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Total Dynamic terima kelulusan penyenaraian Pasaran LEAP Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Mei - Penyedia sistem pengurusan logistik bersepadu, Total Dynamic Holdings Bhd menerima kelulusan aripada Bursa Malaysia Securities Bhd untuk disenaraikan di Pasara LEAP Bursa Malaysia Securities Bhd.

 

Kumpulan itu bersama anak syarikatnya, terlibat dengan pembangunan dan penyediaan sistem pengurusan logistik bersepadu (ILMS) dan perkhidmatan berkaitan.

 

Mereka menawarkan rumusan pengurusan armada yang dikenali sebagai "GPS TDT", terdiri daripada satu set aplikasi perisian berasaskan awan untuk menjejak, memantau dan mengurus maklumat tentang pergerakan kenderaan komersial dan pemandunya menggunakan teknologi Sistem Kedudukan Global (GPS).

 

Total Dynamic juga menyediakan rumusan pengurusan logistik dan gudang yang dikenali sebagai 'Dynamic Move' kepada pelanggannya yang kebanyakannya beroperasi dalam sektor pengangkutan dan logistik.

 

Buat masa sekarang, operasi ibu pejabat kumpulan itu dan sistem pemantauan berpusat berada di Seremban, Negeri Sembilan, dengan lima pusat jualan dan perkhidmatan terletak di seluruh Malaysia iaitu di Butterworth, Klang, Chemor, Kuantan dan Skudai, dengan rancangan untuk pusat jualan dan servis baharu di Melaka , Kota Kinabalu dan Alor Setar.

 

Pengerusi Eksekutif kumpulan, Alex Wong berkata, pihaknya berbesar hati menerima kelulusan daripada Bursa Securities untuk disenaraikan di Pasaran LEAP.

 

Beliau berkata, ia menandakan peristiwa penting dalam perjalanan korporat kumpulan sambil membina syarikat teknologi yang semakin berkembang dengan fokus kepada penawaran rumusan sistem pengurusan logistik bersepadu.

 

"Kami Berjaya mengumpul RM5 juta hasil daripada pelaksanaan penempatan pra penyenaraian kepada pelabur swasta dan terbitan saham kepada pekerja.

 

"Ia akan digunakan bagi membiayai ranangan pengembangan perniagaan kami termasuk pelaburan dalam infrastruktur pelayan baharu untuk pusat data serta pembukaan tiga pusat jualan serta perkhidmatan baharu di Melaka, Kota Kinabalu dan Alor Setar bagi memenuhi jangkaan pertumbuhan kami," katanya.

 

Wyncorp Advisory Sdn Bhd merupakan penasihat diluluskan dan penasihat berterusan untuk pelaksanaan penyenaraian kumpulan itu.- DagangNews.com