U Mobile bekerjasama dengan lapan penyedia kemudahan rangkaian, percepatkan pelancaran 5G kedua negara | DagangNews Skip to main content

U Mobile bekerjasama dengan lapan penyedia kemudahan rangkaian, percepatkan pelancaran 5G kedua negara

Oleh Syaza Norazharuddin

KUALA LUMPUR 26 Julai - U Mobile telah memeterai persefahaman memorandum (MoU) bersama lapan syarikat Pembekal Kemudahan Rangkaian (SBC) untuk menyediakan dan mempercepatkan pelancaran 5G di bawah model dwi rangkaian kerajaan.

 

Lapan SBC tersebut termasuk ahli Persatuan Penyedia Infrastruktur Telekomunikasi (PPIT) Malaysia iaitu, D' Harmoni Telco Infra, Konsortium Jaringan Selangor, Perlis Comm, Infra Quest, Sacofa, Desabina Industries, PDC Telecommunication Services dan PINS Network Solutions (PPIT Consortium).

 

Perkongsian straegik itu menunjukkan dedikasi U Mobile untuk melaksanakan penggunaan rangkaian 5G cekap dan kos efektif kedua dengan memanfaatkan jejak infrastruktur menara gabungan meluas dan kepakaran syarikat-syarikat itu.

 

Melalui MoU tersebut, Konsortium PPIT menyatakan sokongan penuh mereka untuk pelancaran rangkaian 5G yang kedua oleh U Mobile serta berkongsi pengetahuan dan penyediaan akses kepada struktur menara, ruang, kuasa dan pelaksanaan tapak bagi mempercepatkan penggunaan tapak 5G.

 

Kedua-dua syariat itu berkata, proses yang diperkemas itu digabungkan dengan pengalaman dan kemahiran SBC akan mempercepat pengembangan liputan 5G di seluruh negara.

 

Selain itu, pihak berkenaan akan mewujudkan model komersil cekap kos untuk keperluan infrastruktur termasuk membina tapak sesuai, meninjau lokasi bersama dan menaikkan taraf tapak, dengan matlamat untuk mewujudkan tawaran kompetitif dan mampan antara U Mobile dan Konsortium PPIT.

 

Ketua Pegawai Teknologi U Mobile, Woon Ooi Yuen berkata syarikat komited untuk membawa 5G mampu milik dan berkualiti tinggi ke Malaysia, selaras dengan rancangan kerajaan untuk rangkaian 5G kedua bagi meningkatkan persaingan dan memacu kemampanan industri telekomunikasi negara. 

 

"Kerjasama kami dengan rakan kongsi tempatan seperti Konsortium PPIT adalah langkah strategik untuk mencapai matlamat ini. 

 

"Ini kerana bakat dan pengetahuan tempatan mereka dapat U Mobile manfaatkan dalam usaha kami untuk mempercepatkan pelancaran 5G, membawa kelebihan ekonomi teknologi 5G kepada pengguna, perniagaan dan sektor awam,” kata Woon.

 

Presiden PPIT Malaysia Muniff Kamarruddin pula berkata, kerjasama itu adalah kunci untuk mencapai pencapaian 5G negara serta menekankan komitmen PPIT rangkaian 5G kedua akan berjalan lancar.

 

Sementara itu, pelancaran rangkaian 5G kedua dijangka memacu inovasi merentas pelbagai sektor, termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan bandar pintar, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. 

 

Justeru, perkongsian itu menekankan dedikasi U Mobile untuk memenuhi dan melebihi piawaian industri dan jangkaan pelanggan serta memastikan Malaysia kekal di barisan hadapan dalam kemajuan teknologi di rantau ini.

 

Ahli Konsortium PPIT yang lain termasuk Yiked Bina, anak syarikat EDOTCO, dan EdgePoint Towers,  kedua-duanya telah memeterai MoU dengan U Mobile pada awal Julai 2024.- DagangNews.com