Undang-undang anti rasuah perlu ditambah baik - ABIM | DagangNews Skip to main content

Undang-undang anti rasuah perlu ditambah baik - ABIM

 

 

 

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan supaya undang-undang anti-rasuah dan proses penguatkuasaan yang lebih ketat dilaksanakan bagi membanteras isu rasuah di negara ini. 

 

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pertubuhan masyarakat madani ataupun badan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini cuba mengetengahkan reformasi institusi. 

 

Cadangan ini, katanya, termasuk rang undang-undang (RUU) Pembiayaan Politik dan pindaan terhadap Akta Rahsia Rasmi supaya dapat mewujudkan ketelusan tetapi masih belum diterima secara menyeluruh.

 

"Sehubungan itu, sudah tiba masanya untuk seluruh rakyat Malaysia serta suara-suara pertubuhan masyarakat madani atau NGO sama-sama mengembleng satu gerakan bagi memastikan usaha reformasi dan penambahbaikan untuk membasmi gejala rasuah ini dapat direalisasikan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Laporan indeks persepsi rasuah (CPI) 2020 yang dikeluarkan oleh Transparency-International (TI) menyatakan kedudukan Malaysia telah merosot 6 anak tangga iaitu berada di tempat ke-57 berbanding 51 pada 2019.

 

Jelas Muhammad Faisal, rasuah adalah isu nasional yang harus ditangani seluruh rakyat Malaysia kerana ia adalah barah yang akan menghancurkan potensi negara ini untuk maju pada masa akan datang.

 

"Lantaran dampak yang perlu sama-sama di atasinya, semua pihak perlu sama-sama duduk semeja untuk menghasilkan solusi menyeluruh untuk menangani gejala rasuah ini daripada terus mengakar," katanya. 

 

Beliau berkata, tanggungjawab ini juga perlu dilaksanakan bersama kelompok agamawan daripada pelbagai latar belakang agama kerana mereka ada pengaruh tersendiri untuk menjayakan kempen desakan ini.

 

Bagi menangani isu ini, tegas beliau, ABIM komited untuk menyatukan seluruh rakyat meliputi segenap segmen masyarakat untuk bersama membina kesepakatan membanteras gejala ini bagi melahirkan satu Bangsa Malaysia yang bermaruah. 

 

"Melihat ke hadapan, ABIM optimis satu Bangsa Malaysia yang disatukan dengan nilai dan watak yang bersih, berintegriti dan bermaruah dapat dilahirkan. 

 

"Matlamat ini boleh dicapai jika kita memainkan peranan serius sebagai suara pendesak untuk memastikan perubahan yang kita inginkan dapat direalisasikan untuk kebaikan negara pada masa akan datang," katanya. - DagangNews.com