Unjuran pendapatan Supercomnet pada FY23-25 diturunkan sehingga 22.2% ekoran jangkaan jualan lebih rendah 23% – TA Securities | DagangNews Skip to main content

Unjuran pendapatan Supercomnet pada FY23-25 diturunkan sehingga 22.2% ekoran jangkaan jualan lebih rendah 23% – TA Securities

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Dis - TA Securities menurunkan unjuran pendapatan Supercomnet Technologies Berhad bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) masing-masing sebanyak 22.2%, 21% dan 21.1% selepas mengurangkan anggaran jualan sebanyak kira-kira 23% selepas ia mencatat keputusan 3QFY23 di bawah jangkaan.

 

Firma penyelidikan itu berkata keuntungan selepas cukai (PAT) kumpulan pada suku tersebut menurun 26.7% tahun ke tahun kepada RM7.4juta, seiring dengan pendapatan lebih rendah  27.9% kepada RM32.5juta. 

 

Jelasnya, prestasi yang lebih lemah itu disebabkan oleh kos pengeluaran yang lebih tinggi berikutan kenaikan tarif elektrik dan hasil yang lebih rendah kira-kira RM6 juta setiap satu dalam segmen automotif dan segmen industri.

 

"Walaupun kelewatan sumbangan daripada pelanggan I dan N serta isu dalam pelanggan M, kami percaya bahawa pertumbuhan pendapatan Supercomnet kekal utuh kerana dua daripada pelanggan terbesarnya, Edward dan Ambu, akan meningkatkan tempahan pembelian pada FY24," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

TA Securities menjangkakan sumbangan segmen perubatan naik 28.8% pada FY24 (berbanding 2.6% pada FY23) didorong andaian sumbangan Edward dan Ambu masing-masing meningkat 13% dan 18% pada 2024.

 

Sementara itu, firma itu turut menjangkakan segmen automotif pulih dengan kukuh pada FY24 kerana penurunan sementara dalam jualan adalah disebabkan oleh rombakan kilang pelanggannya, Stellantis di Gurun.

 

Stellantis sedang menilai potensi Gurun untuk menjadi hab serantau bagi kenderaan elektrik bateri (BEV) untuk pasaran domestik dan eksport, di mana firma tersebut percaya pengembangan syarikat itu di ASEAN (menerusi Gurun, Kedah) akan memberi petanda yang baik untuk Supercomnet.

 

"Di samping itu, kumpulan itu sedang berbincang dengan syarikat automotif Eropah berhubung penjualan abah-abah wayar untuk model Chrysler dalam pasaran Amerika Syarikat.

 

"Jika berjaya, projek pertama dijangka bermula pada Mac atau April 2024 dan menyumbang sekitar RM10 juta hingga RM15 juta jualan setahun.

 

"Kami menganggarkan bahawa segmen automotif akan menyumbang RM28.2 juta kepada jualan pada FY24 berbanding RM12.2 juta pada FY23," katanya.

 

TA Securities mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada RM1.46 sesaham daripada RM1.85 sebelumnya berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) tahun kalendar 2024 sebanyak 32 kali.

 

Pada pukul 10:19 pagi ini, saham Supercomnet kekal pada RM1.26, memberikannya permodalan pasaran bernilai RM993.9 juta.  - DagangNews.com