Untung bersih 2QFY24 Poh Kong meningkat kepada RM28 juta didorong kenaikan harga emas | DagangNews Skip to main content

Untung bersih 2QFY24 Poh Kong meningkat kepada RM28 juta didorong kenaikan harga emas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Mac - Untung bersih Poh Kong Holdings Berhad bagi suku kedua berakhir 31 Januari 2024 (2QFY24) meningkat kepada RM28.25 juta berbanding RM25.68 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya didorong oleh kenaikan harga emas.

 

Kumpulan itu berkata, keuntungan itu disokong pendapatan yang lebih tinggi sebanyak RM423.81 juta bagi suku berkenaan berbanding RM403.83 pada 2QFY23.

 

Katanya, peningkatan hasil itu didorong lonjakan permintaan barang kemas serta produk pelaburan emas bagi suku semasa dalam tinjauan.

 

"Hasil yang lebih tinggi dan kenaikan harga emas telah membantu meningkatkan margin keuntungan berbanding suku sebelumnya.

 

"Aliran menaik keseluruhan dalam harga emas telah meningkatkan keuntungan operasi pada suku semasa," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Sementara itu bagi tempoh separuh pertama berakhir 31 Januari 2024 (1HFY24), untung bersih kumpulan itu naik kepada RM47.25 juta berbanding RM41.35 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya disokong peningkatan hasil kepada RM779.79 juta berbanding RM774.19 juta pada 1HFY23.

 

Sementara itu, kumpulan itu berkata, ekonomi Malaysia dijangka mengukuh pada tahun ini dibantu pengembangan dalam semua sektor dipacu oleh prospek perdagangan global yang lebih baik. 

 

Katanya, aktiviti perdagangan yang lebih kukuh dan dinamik pastinya akan membawa kepada lonjakan permintaan yang lebih besar untuk emas.

 

"Kami akan sentiasa memantau kesan ketidaktentuan semasa ke atas operasi kami dan menjalankan penilaian berterusan terhadap prestasi kumpulan," katanya.- DagangNews.com