Untung bersih Bursa Malaysia menyusut 36.2% kepada RM226.6 juta pada FY22 akibat hasil dagangan yang rendah | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Bursa Malaysia menyusut 36.2% kepada RM226.6 juta pada FY22 akibat hasil dagangan yang rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Jan - Untung bersih Bursa Malaysia Berhad bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) menurun 36.2% kepada RM226.6 juta berbanding RM355.3 juta pada tahun sebelumnya.

 

Bursa Malaysia dalam satu kenyataan berkata, penurunan itu berpunca daripada hasil dagangan yang lebih rendah sebanyak RM377.1 juta pada FY22, 30.7% lebih rendah berbanding FY21.

 

Jumlah perbelanjaan operasi pada FY22 meningkat sebanyak 1.4% kepada RM292.7 juta daripada RM288.6 juta pada FY21.

 

Bursa Malaysia mencatatkan hasil dagangan sebanyak RM263.5 juta pada FY22 berbanding RM442.9 juta pada FY21 penurunan sebanyak 40.5%, disebabkan oleh Purata Nilai Harian (ADV) yang lebih rendah untuk dagangan dalam pasaran dan perniagaan langsung.

 

Sementara itu, hasil dagangan Pasaran Derivatif meningkat sebanyak 11.3% kepada RM97.2 juta pada FY22 daripada RM87.3 juta pada FY21 sebahagiannya disebabkan oleh yuran pengurusan cagaran yang lebih tinggi yang diperolehi, serta bilangan kontrak FCPO dan FKLI yang lebih tinggi didagangkan.

 

Hasil dagangan Bursa Suq Al-Sila (BSAS) meningkat sebanyak 17.8% kepada RM16.4 juta pada FY22 daripada RM14 juta pada FY21.

 

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, nilai dagangan merosot sebanyak 41.5% dengan ADV sebanyak RM2.1 bilion pada 2022 tetapi masih tinggi berbanding ADV pra pandemik sebanyak RM1.9 bilion.

 

Beliau berkata, Pasaran Derivatif, bagaimanapun, menunjukkan prestasi yang lebih baik dengan Purata Kontrak Harian (ADC) meningkat sebanyak 4.6% daripada 75,178 kontrak pada FY21 kepada 78,621 kontrak pada FY22.

 

Katanya, platform Murabahah Komoditi, BSAS juga menunjukkan prestasi yang baik dengan ADV 22.3% lebih tinggi daripada RM37.3 bilion kepada RM45.6 bilion

 

"Kami juga mempunyai penyenaraian yang sangat aktif di Bursa dengan 35 IPO direkodkan pada FY22 yang ebrjaya meraih RM3.5 bilion, lebih tinggi daripada 30 IPO yang dicatatkan pada FY21," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, segmen Pasaran Data memberikan pertumbuhan 12.5% kepada RM60.8 juta pada FY22 berbanding RM54 juta pada FY21.

 

"Bagi mencapai pertumbuhan selanjutnya dalam hasil bukan dagangan, kami akan terus menambah baik penyampaian data yang lebih baik kepada pelanggan untuk memperkasakan industri bagi menjalankan analisis atau menawarkan produk atau perkhidmatan yang lebih baik.

 

"Bursa Malaysia baru-baru ini menandatangani MOU dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Jabatan Perangkaan Malaysia bagi bekerjasama dalam pengaturan perkongsian data bersama dengan objektif membuka peluang pendapatan baharu, sambil menyokong data nasional dan agenda pendigitalan," katanya. - DagangNews.com