Untung bersih Foundpac Group susut 32.8% kepada RM1.6 juta bagi 3QFY23 akibat kelemahan segmen kejuruteraan ketepatan | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Foundpac Group susut 32.8% kepada RM1.6 juta bagi 3QFY23 akibat kelemahan segmen kejuruteraan ketepatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Mei - Untung bersih Foundpac Group Berhad susut 32.8% kepada RM1.6 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2023 (3QFY23) berbanding RM2.4 juta bagi suku sama pada tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu mencatatkan penurunan hasil sebanyak 9.64% atau RM1.7 juta kepada RM15.8 juta bagi suku berkenaan berbanding RM17.5 juta pada suku sama pada tahun sebelum ini.

 

Katanya, penurunan itu disebabkan penurunan dalam jualan daripada segmen kejuruteraan ketepatan akibat permintaan yang lemah dan penangguhan penghantaran dalam pasaran semikonduktor.

 

"Jualan eksport kekal sebagai penyumbang utama kepada jumlah hasil kumpulan yang mencakupi RM10.3 juta atau 65% daripada jumlah hasil kumpulan bagi suku semasa berbanding RM11.8 juta atau 68% pada tahun sebelumnya.

 

"Penurunan peratusan jualan eksport sekali lagi disumbangkan terutamanya oleh pengurangan daripada segmen kejuruteraan ketepatan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, dengan jualan semikonduktor global bergerak pada arah aliran menurun sejak Ogos 2022, permintaan juga semakin berkurangan dengan beberapa pelanggan menangguhkan pesanan mereka.

 

Katanya, peningkatan kos langsung juga menjejaskan margin keuntungan kumpulan.

 

"Selaras dengan faktor makro-ekonomi yang tidak menggalakkan yang menyokong industri, kumpulan itu menjangkakan untuk menamatkan tahun kewangan semasa dengan prestasi purata.

 

"Dalam pada itu, kumpulan terus menumpukan pada pengukuhan operasi dan asas perniagaannya," katanya. - DagangNews.com