Untung bersih Johor Plantations Group melonjak 4 kali ganda kepada RM50.2 juta pada 2QFY24 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Johor Plantations Group melonjak 4 kali ganda kepada RM50.2 juta pada 2QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Untung bersih Johor Plantations Group Berhad (JPG) pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) meningkat empat kali ganda kepada RM50.2 juta berbanding RM12.5 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu berkata, hasil bagi suku berkenaan juga meningkat 34.9% kepada RM360.9 juta berbanding RM267.6 juta pada tahun lalu.

 

Katanya, peningkatan hasil dan keuntungan itu didorong lonjakan sebanyak 31.2% daripada volum penghantaran minyak awit mentah (MSM) kepada 73,262 tan metrik berbanding 55,851 tan metrik pada 2QFY23.

 

 

"Ia juga didorong peningkatan volum penghantaran isirung sawit (PK) kepada 19,154 tan metrik pada 2QFY24 berbanding 14,604 tan metrik pada 2QFY23 selain peningkatan harga jualan PK sebanyak 16.6% serta harga jualan MSM sebanyak 1.5%," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2024 (6MFY24), untung bersih kumpulan itu melonjak kepada RM99.7 juta berbanding RM35.9 juta didorong peningkatan hasil sebanyak RM655.8 juta berbanding RM519.6 juta pada 6MFY23.

 

Lembaga pengarah telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 1.25 sen sesaham bagi suku tersebut, yang perlu dibayar pada 24 September 2024.

 

Pengarah Urusan JPG, Mohd Faris Adli Shukery berkata, peningkatan volum MSM dan harga jualan yang mampan merupakan pemacu utama keuntungan kumpulan pada suku tersebut

.

Beliau berkata, keputusan positif itu sejajar dengan visi kumpulan untuk menjadi pengeluar minyak dan lemak premium yang mampan pilihan global.

 

"Bagi memastikan kejayaan berterusan, kami kekal fokus pada meningkatkan kecekapan operasi, peningkatan hasil, memajukan usaha mekanisasi kami dan menguatkuasakan kawalan kos yang ketat.

 

"Usaha ini akan meletakkan kami untuk memanfaatkan sebarang peluang pasaran yang berpotensi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Mohd. Faris berkata, pihaknya akan mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju dalam sektor kelapa sawit bersepadu dan pihaknya yakin usaha itu akan memacu pertumbuhan berterusan untuk bulan-bulan akan datang.

 

"Kemampanan akan kekal sebagai teras dalam operasi kami kerana keutamaan yang semakin meningkat untuk minyak sawit daripada sumber yang bertanggungjawab.

 

"Tambahan pula, inisiatif pendigitalan dan jentera kami yang dipercepatkan sejajar dengan transformasi kami yang lebih luas dan berdaya tahan pada masa hadapan,” katanya. - DagangNews.com