Untung bersih KIP REIT pada 3QFY24 susut kepada RM10.23 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih KIP REIT pada 3QFY24 susut kepada RM10.23 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 April - Untung bersih KIP Real Estate Investment Trust (REIT) bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2024 (3QFY24) susut kepada RM10.23 juta berbanding RM10.53 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil KIP REIT bagaimanapun meningkat 12.5% kepada RM24.5 juta daripada RM21.8 juta disokong oleh pertumbuhan hasil runcit wilayah tengah sebanyak 38.7%.

 

Katanya, pelaburan hartanah bagi segmen runcit menyumbang RM23.2 juta atau 94.8% daripada jumlah hasil manakala wilayah selatan mencatatkan RM10.7 juta, bersamaan 46.2% daripada pendapatan segmen runcit.

 

Ia kemudian diikuti wilayah tengah sebanyak RM8.1 juta manakala wilayah utara, yang hanya diwakili oleh Aeon Mall Kinta City, pula menyumbang 19.2% atau RM4.5 juta.

 

"Segmen perindustrian, yang terdiri daripada tiga hartanah perindustrian di Pelabuhan Klang, menyumbang 5.2% atau RM1.3 juta daripada jumlah hasil kasar RM24.5 juta. Sejajar dengan itu, pendapatan harta bersih (NPI) meningkat sebanyak 10.1% daripada RM16.4 juta kepada RM18.1 juta pada 3QFY24," katanya.

 

KIP REIT berkata, bagi sembilan bulan terkumpul berakhir 31 Mac 2024, hasil meningkat 13.3%, tahun ke tahun kepada RM69.5 juta. Selaras dengan hasil yang lebih tinggi, NPI dan untung bersih masing-masing melonjak 11.9% dan 13.9% kepada RM51.4 juta dan RM31.3 juta.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KIP REIT, Valerie Ong Pui Shan berkata, purata kadar penghunian di 11 hartanah mereka pada 31 Mac 2024 adalah sebanyak 94%.

 

Beliau berkata, dasar pelaburan KIP REIT kebanyakannya tertumpu kepada pusat beli-belah komuniti pinggir bandar yang sangat relevan dengan landskap ekonomi semasa.

 

"Memandang ke hadapan, kami mengekalkan pandangan yang positif, disokong oleh prestasi kukuh portfolio hartanah sedia ada dan inisiatif strategik untuk meningkatkan kecekapan pajakan dan operasi, ditambah dengan inisiatif peningkatan aset sambil mengejar pelaburan berkualiti tinggi.

 

"Kami berhasrat untuk meningkatkan operasi dan meningkatkan jumlah aset kepada RM2 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

"Kami akan terus meneroka peluang ke atas aset hartanah yang menghasilkan pendapatan untuk hartanah komersial, termasuk kemudahan industri, logistik dan kemudahan gudang," katanya. - DagangNews.com