Untung bersih TH Plantations 1QFY24 naik 13.6%, pengeluaran tinggi imbangi penurunan harga sawit | DagangNews Skip to main content

Untung bersih TH Plantations 1QFY24 naik 13.6%, pengeluaran tinggi imbangi penurunan harga sawit

TH Plantations mengharapkan harga minyak kelapa sawit akan kekal menguntungkan pada 2QFY24.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 Mei - Untung bersih TH Plantations Berhad bagi suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24) meningkat 13.6% kepada RM 13.04 juta, daripada RM11.47 juta pada suku sama setahun sebelumnya.

 

Pendapatan syarikat perladangan itu turut meningkat dalam suku tinjauan kepada RM157.3 juta, berbanding RM146.4 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

 

Menjelaskan dalam kenyataan medianya, TH Plantations berkata, peningkatan pendapatan sebanyak 7.5% pada 1QFY24 berbanding setahun lalu disebabkan jumlah jualan produk sawit yang lebih tinggi.

 

"Pendapatan yang lebih baik pada suku pertama turut disumbangkan oleh pengeluaran buah tandan segar (FFB) dan minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

 

"Pengeluaran BTS dan MSM Kumpulan untuk suku pertama masing-masing meningkat 14.8% dan 8.1%. Kumpulan juga mencatatkan Keuntungan Sebelum Cukai yang lebih tinggi sebanyak 10.8% berbanding suku sebelumnya (Q4FY2023) terutamanya disebabkan oleh perbelanjaan lain yang lebih rendah," katanya hari ini.

 

Walaupun ketidakpastian pasaran global semasa, TH Plantations mengharapkan harga minyak kelapa sawit akan kekal menguntungkan pada 2QFY24 disebabkan oleh bekalan yang terhad, cuaca tidak menentu, ketegangan geopolitik dan permintaan sempena perayaan serta keadaan pasaran yang merugikan yang mempengaruhi perbezaan antara RBD Palm Olein dan minyak soya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: TH Plantations jangka ketidaktentuan ekonomi global beri kesan kepada permintaan minyak sawit

 

"Kecuali berlakunya keadaan yang tidak dijangka, Kumpulan mengunjurkan prestasi kewangan yang memuaskan untuk tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2024 dan berkeyakinan terhadap kebolehan strategi dan inisiatif semasa untuk menangani isu-isu dan cabaran yang berterusan," jelasnya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TH Plantations, Mohamed Zainurin Mohamed Zain berkata, peningkatan pengeluaran pada 1QFY24 berbanding 1QFY23 telah membantu meningkatkan pendapatan walaupun harga produk sawit lebih rendah.

 

Katanya, keputusan yang menggalakkan ini menunjukkan bahawa Pelan Strategik 5 tahun Kumpulan, Al Falah 22/22, menuju ke arah yang betul dalam meningkatkan kecekapan operasi dan memupuk pertumbuhan yang mampan.

 

"Berdasarkan hasil yang menggalakkan ini, Kumpulan akan terus memperkukuh usaha di bawah inisiatif Al-Falah dengan menumpukan pada kecekapan operasi, pengurusan kos yang berkesan, amalan agronomi yang baik, program pemulihan, penanaman semula dan mekanisasi untuk berusaha mencapai prestasi yang lebih baik,” ujarnya. - DagangNews.com