Usahawan milenial perlu elak budaya hidup mewah untuk berjaya | DagangNews Skip to main content

Usahawan milenial perlu elak budaya hidup mewah untuk berjaya

Anda tidak perlukan telefon mahal untuk memulakan perniagaan. Itu boleh tunggu.

 

 

Oleh Sr. Ts. SITI HAFSAH ZULKARNAIN

 

 

KEUSAHAWANAN dapat dilihat sebagai "mesin pertumbuhan” di mana usahawan dapat memberikan sumbangan positif yang ketara tidak hanya dalam aspek pembangunan ekonomi tetapi juga pembangunan sosial.

 

Kepentingan keusahawanan terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia dapat dibuktikan dari pelbagai sokongan mekanisme dan dasar oleh kerajaan Malaysia.

 

Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) diperkenalkan sebagai satu garis panduan untuk menyediakan kerangka atau ekosistem yang holistik untuk pembangunan keusahawanan di Malaysia, yang hari ini dilihat semakin berkembang pesat. 

 

Golongan milenial di Malaysia perlu lebih responsif dan proaktif kepada dasar ini selaras dengan hasrat kerajaan ke arah pembentukan masyarakat Malaysia yang bercirikan keusahawanan dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan unggul menjelang 2030.

 

Selain itu, di era Revolusi Industri 4.0, golongan belia juga perlu merubah persepsi mereka dan melihat perniagaan sebagai salah satu pilihan kerjaya yang menjanjikan pulangan yang lumayan. 

 

Keterlibatan golongan milenial dalam bidang keusahawanan meliputi aspek penciptaan pekerjaan (job creator) dan membuka peluang perniagaan kepada masyarakat bagi mewujudkan ekosistem keusahawanan yang seimbang dan menyeluruh.

 

 

masmed

 

 

Semasa sesi perkongsian yang diadakan bersama dengan mahasiswa Kolej Kejuruteraan UiTM Shah Alam bagi Program “Youth Entrepreneuship Talk” penekanan diberikan kepada tujuan utama atau “BIG WHY” golongan milenial ini  menceburkan diri dalam bidang keusahawanan semasa melanjutkan pengajian di UiTM.

 

Sebagai mahasiswa mereka perlu sedar dan komited akan kepentingan bidang yang mereka ceburi serta harus bijak membahagikan masa antara belajar dan berniaga.

 

Dalam melayari bahtera perniagaan, sudah tentu pelbagai cabaran dan rintangan turut dihadapi dalam memastikan usaha dan kesungguhan yang diberikan dalam menjalankan perniagaan tersebut beroleh kejayaan yang cemerlang.

 

Oleh yang demikian, golongan milenial ini perlu menerapkan di dalam diri mereka budaya kerja bersungguh-sungguh dan membuat perancangan masa hadapan perniagaan dengan lebih terancang dan sistematik.

 

 

masmed

 

 

Sebagai usahawan, golongan ini juga perlu bijak menguruskan kewangan agar modal dan keuntungan yang diperolehi hasil dari perniagaan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk tujuan mengembangkan perniagaan mereka.

 

Elakkan dari menggunakan wang hasil perniagaan untuk tujuan pembaziran yang sia-sia. Sebagai generasi muda, adakalanya mereka juga akan terpengaruh dengan budaya hidup mewah yang sering dikongsikan di media sosial.

 

Situasi ini juga dianggap sebagai budaya yang kurang sihat dan boleh menjejaskan prestasi seseorang usahawan apabila mereka merasa cepat berpuas hati dengan satu pencapaian yang dimiliki.

 

Ada juga segelintir usahawan milenial yang mula menikmati hasil pendapatan dari perniagaan mereka dengan membuat perbelanjaan kepada budaya hidup mewah seperti membeli kereta, telefon bimbit, melancong ke luar negara dan makan di restoran yang mahal.

 

Tidak menjadi kesalahan untuk kita menikmati hasil titik peluh sendiri setelah penat bekerja, namun harus berpada-pada agar kejayaan yang dikecapi dapat bertahan untuk jangka masa panjang. – DagangNews.com

 

       

Sr. Ts. Siti Hafsah Zulkarnain adalah Pengarah Pusat Keusahawanan Mahasiswa, Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), Universiti Teknologi MARA Shah Alam