Warisan TC jalin kerjasama dengan GAC Motor laksana kajian lengkap operasi pemasangan tempatan model kereta Emkoo, Emzoom | DagangNews Skip to main content

Warisan TC jalin kerjasama dengan GAC Motor laksana kajian lengkap operasi pemasangan tempatan model kereta Emkoo, Emzoom

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 April - Warisan TC Holdings Bhd menerusi  WTC Automotif (M) Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan GAC Motor International Limited bagi menjalankan kajian lengkap mengenai operasi pemasangan tempatan (CKD) bagi dua model kenderaan Emkoo bagi pasaran domestik dan antarabangsa.

 

Kajian itu melibatkan kenderaan Emkoo pemanduan kanan (A58-G) di Malaysia dan pengeluaran CKD pemanduan kiri Model GS3 Emzoom (A79-G) di Malaysia dan eksport ke Vietnam.

 

Kumpulan itu berkata, kajian kebolehlaksanaan itu akan memberikan peluang kepada mereka mencapai skala ekonomi dengan memaksimumkan nilai pelaburannya bagi infrastruktur, sumber, kemahiran manusia dan kemudahan loji sedia ada berikutan pengeluaran besar-besaran model CKD.

 

"Ia juga akan memberi peluang kepada kumpulan untuk memasuki pasaran automotif antarabangsa dan mempercepatkan kadar penembusan pasaran di Malaysia dengan model kenderaan yang berbeza yang seterusnya akan memberikan peningkatan hasil serta pertumbuhan mampan jangka panjang," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Projek itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa dengan fasa pertama melibatkan kajian terhadap pemanduan kanan Emkoo dalam bentuk CKD bermula 30 April tahun ini.

 

Fasa kedua melibatkan kajian kemungkinan pemanduan kiri GS3 Emzoom dalam bentuk CKD dianggarkan pada 31 Mei ini manakala fasa tiga melibatkan eksport model GS3 Emzoom pemanduan kiri yang dipasang dalam Fasa 2 oleh kumpulan di Malaysia ke Vietnam dalam bentuk binaan lengkap sebelum 31 Disember 2024 menjelang 31 Julai ini.

 

Kumpulan itu berkata, perjanjian itu dijangka tidak memberi sebarang kesan kepada pendapatan sesaham, aset bersih dan penggearan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

 

Perjanjian itu tidak akan memberi kesan ke atas modal saham WarisanTC dan pegangan saham pemegang saham besarnya.- DagangNews.com