Waspada penipuan pelaburan guna memorandum maklumat palsu - SC | DagangNews Skip to main content

Waspada penipuan pelaburan guna memorandum maklumat palsu - SC

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Sept - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memberi amaran kepada orang ramai mengenai taktik penipuan pelaburan baharu yang menggunakan Memorandum Maklumat (IM) palsu untuk mendapatkan pelaburan.

 

Menurut kenyataan hari ini, SC berkata, taktik itu mendakwa secara palsu bahawa IM tersebut telah diserah atau disahkan oleh SC.

 

Memorandum Maklumat (IM) ialah dokumen penzahiran yang menggariskan maklumat penting seperti perniagaan syarikat, pandangan industri kewangan dan strategi pertumbuhan yang akan membantu pelabur dalam membuat keputusan pelaburan termaklum.

 

“Di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), syarikat awam tidak tersenarai yang mengeluarkan IM bagi mengumpul dana dikehendaki menyerahkannya kepada SC dalam tempoh tujuh hari selepas terbitan kepada bakal pelabur.

 

“Walau bagaimanapun, penyerahan IM tidak dianggap sebagai pengesahan oleh SC,” ujarnya.

 

Dalam kes ini, SC mendapati syarikat tersebut memberi gambaran kepada pelabur bahawa ia telah mengeluarkan IM yang kononnya diserahkan kepada SC, sekali gus mengelirukan pelabur dan memberikan kredibiliti kepada skim pelaburannya.

 

SC mengesahkan syarikat itu tidak menyerahkan sebarang IM kepadanya dan mengesyaki taktik itu adalah sebahagian daripada penipuan pelaburan.

 

Di samping itu, SC turut berkata, tindakan segera telah diambil terhadap syarikat tersebut termasuk memfailkan laporan polis dan memasukkan syarikat itu dalam Senarai Makluman Pelabur SC di lama web rasminya. 

 

“Kami memandang serius perkara ini, kerana tindakan sedemikian boleh menyebabkan orang ramai percaya SC menyokong dan meluluskan produk pelaburan berkaitan.

 

“Pihak awam amat digalakkan untuk mengesahkan sebarang tawaran menggunakan nama SC atau mana-mana pegawainya, dan melaporkan perkara ini serta sebarang aktiviti atau maklumat pelaburan yang mencurigakan kepada SC. 

 

“Ini akan membantu melindungi pelabur daripada potensi risiko dan membantu mereka dalam membuat keputusan pelaburan termaklum,” ulas SC.- DagangNews.com