Wawasan Gerakan Islah dan Kosmopolitan Muslim: Wasilah Untuk Merealisasikan Aspirasi Nahdah  | DagangNews Skip to main content

Wawasan Gerakan Islah dan Kosmopolitan Muslim: Wasilah Untuk Merealisasikan Aspirasi Nahdah 

Oleh MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menganjurkan Muktamar Sanawi Kali Ke-50 pada 19 Februari 2022 (Sabtu). Program ini telah dirasmikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden ABIM yang Kedua dan Ahli Parlimen Port Dickson).

 

Sempena dengan muktamar ini, ABIM telah mengetengahkan ucapan dasarnya bertemakan “Wawasan Gerakan Islah dan Kosmopolitan Muslim: Wasilah Untuk Merealisasikan Aspirasi Nahdah”. Ucapan dasar ini telah menggariskan tujuh ketetapan utama seperti berikut:

 

1.         Separuh Abad Penubuhan ABIM Dalam Pembinaan Negara
Kemunculan ABIM yang memimpin kebangkitan serta kesedaran Islam yang fenomenal dalam sejarah pembinaan negara. ABIM telah mencetuskan pengislahan dan pembaharuan dengan membina sarwa pandang bahawa Islam adalah sebagai cara hidup yang membina peradaban manusia dalam konteks yang lebih luas.

 

Transformasi besar-besaran ini telah disimpulkan oleh Prof Mohammad Hashim Kamali yang menyimpulkan keadaan ini adalah cerminan kepada kombinasi acuan islah bersama tajdid pemikiran yang berlaku dalam masyarakat:

 

“In the context of Malaysia, the Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM) that emerged in 1971 drew much of its motivation from a combination of both tajdid and islah, that called for spiritual and moral transformation of individuals and visualised a more equitable and just society.”  

 

 

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ
                            MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ

 

 

2.         Memimpin Perubahan Dalam Masyarakat
ABIM merupakan sebahagian daripada kesinambungan gerakan pembaharuan yang muncul dalam turun naik sejarah peradaban Islam, yang peranannya harus disoroti dimensi Ilmu Sosial Profetik yang dikemukakan oleh Kuntowijoyo seperti berikut:

 

“Dalam kaitan itulah saya pernah mengemukakan bahwa yang kita butuhkan sekarang adalah ilmu-ilmu sosial profetik, yaitu yang tidak hanya menjelaskan dan mengubah fenomena sosial, tapi juga memberi petunjuk ke arah mana transformasi itu dilakukan, untuk apa, dan oleh siapa? Oleh kerana itulah, ilmu sosial profetik tidak sekadar mengubah demi perubahan, tapi mengubah berdasarkan cita-cita etik dan profetik tertentu. Dalam pengertian ini maka ilmu sosial profetik secara sengaja memuat kandungan nilai dari cita-cita perubahan yang diidamkan masyarakatnya” 

 

Maka, menerusi dimensi ini, sejarah gerakan Islāḥ lalu bukan semata-mata sebagai bahan penceritaan kosong mahupun bahan hiburan penglipur lara. Akan tetapi harus dimanfaatkan sebagai instrumen untuk membina semula ataupun reconstruct pemikiran warga penggerak gerakan ABIM dan umat seluruhnya.

 

Justeru, kesedaran ini akan mengangkat dan membawa kefahaman bahawa ABIM tidak bangun mengemudi gerakan pembaharuan dan perubahan dari vakum yang kosong. Hakikatnya, gerakan pembaharuan yang kita bawa telah mengalami pelbagai proses interaksi dan saling berhubung serta menjambatani di antara satu sama lain.

 

Walaupun wujud simpang siur tertentu dalam gerakan Islāḥ lampau, namun perkara ini bukan penghalang untuk kita berinteraksi dengan sejarahnya disebabkan oleh peristiwa yang sarat dengan pelbagai hikmah dan pengajaran.

 

Malah, keberadaan ABIM pada hari ini yang konsisten membawa gagasan pembaharuan adalah bersifat penerusan dan ‘acceleration’ kepada perjalanan Islāḥ dalam masyarakat. 

 

 

abim

 

 

3.         Nahdah dan Pembinaan Islam Yang Universal
Melangkah kehadapan, ABIM berhasrat lanjutkan usaha untuk merealisasikan cita-cita nahdah Islam dan pembinaan peradaban Islam adalah bersifat sejagat serta tidak terkongkong serta tidak eksklusif pada kelompok masyarakat Muslim semata-mata.  Prof Emeritus Osman Bakar telah menamakan identiti peradaban Islam sebagai ‘ummatan wasatan’ atau “the middle nation” yang sifatnya universal seperti berikut:

 

The idea of middleness itself is universal in nature… in its literal meaning the word wasatan refers to the middle or intermediate geographical location of the Islamic world. But it also conveys a meaning that is applicable to human beliefs, thoughts, and behavioural conducts; in other words, to human culture and civilization. When the idea of middleness is applied to these human things, then it brings the connotation of societal balance, equilibrium, and justice.” 

 

4.         Kosmopolitan Islam dalam aktualisasi Islah dan Tajdid
Paradigma kosmopolitan Islam menegaskan bahawa Islah dan Tajdid berlaku seiring dengan usaha memupuk budaya inklusif dan membentuk acuan keterbukaan dengan merancakkan interaksi merentasi batas wilayah, budaya, ras, agama, dan latar keturunan. Peranan gerakan Islah di rantau ini (alam Melayu) berencahkan kosmopolitanisme telah dinyatakan oleh Prof Azyumardi Azra seperti berikut: 

 

“Islam kepulauan nusantara berkembang dan menemukan momentum konsolidasi ortodoksi sejak abad ke-17 dan abad-abad selanjutnya, ketika ulama-ulama Jawi kembali dari Haramayn setelah belajar beberapa dasawarsa. Mereka belajar di Makkah, Madinah dan sejak awal abad ke-20 juga di Kairo (Kaherah) dari ulama dan intelektual kosmopolitan, yang datang dari berbagai pelosok dunia Muslim. Hasilnya murid dan ulama Jawi setiap generasi pada setiap abad, juga memiliki cara pandang, pemahaman dan praksis keislaman yang juga kosmopolitan”. 

 

 

abim
Muktamar Sanawi Kali Ke-50 ABIM diadakan secara hibrid fizikal dan maya pada 19 Februari 2021.

 

 

5.         Interaksi Untuk Membina Negara
Untuk menjayakan agenda Islah, ABIM mengambil tanggungjawab untuk membina watak penggeraknya dengan ciri-ciri kosmopolitan. Antaranya dilakukan dengan membuka jendela interaksi dan libat urus – engagement dengan pelbagai pihak untuk berkongsi aspirasi pembaharuan dan perubahan dapat dimanfaatkan oleh masyarakat. Menerusi jaringan serta libat urus ini, para pemegang taruh masing-masing berlapang dada untuk menerima pandangan serta kritikan dan saling menghormati peranan yang digerakkan oleh rakan-rakan strategik yang lain. 

 

6.         Anjakan Amalan Politik Baharu Berorientasikan Rakyat
Kemelut politik yang menjejaskan sosio-ekonomi rakyat menyedarkan kita bahawa satu anjakan baharu yang berorientasikan rakyat perlu direalisasikan. Masyarakat perlu diberi dan ruang serta waktunya yang tersendiri dalam bentuk politik (deliberative ataupun participatory democracy) di samping dihormati serta peranannya untuk merangka dan merealisasikan formula penyelesaian kepada persoalan semasa di akar umbi. 

 

7.         Gagasan Bangsa Malaysia Sebagai Solusi
ABIM sejak awal penubuhan telah menegaskan gagasan serta aspirasi Bangsa Malaysia sebagai solusi penyatuan dan acuan pembinaan negara secara bersama. Gagasan ini berasaskan kepada tiga orientasi kesetiaan meliputi tiga perkara berikut: 
a.            Kesetiaan kepada tanggungjawab memberdaya masyarakat secara bersama;
b.            Kesetiaan untuk mempertahan maruah dan harga diri seluruh warga; serta
c.            Kesetiaan kepada kehidupan yang menjamin kelestarian dan kemapanan generasi mendatang.

 

 

Kenyataan media ini oleh MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ, Presiden ABIM bersempena Muktamar Sanawi Kali Ke-50 pada 19 Februari 2022. - DagangNews.com