Yayasan JCorp peruntuk RM850,000 taja 8 pelajar B40 lanjut pengajian dalam ACCA | DagangNews Skip to main content

Yayasan JCorp peruntuk RM850,000 taja 8 pelajar B40 lanjut pengajian dalam ACCA

Pengerusi Yayasan JCorp, Rozaini Mohd Sani (depan, empat dari kanan) bergambar bersama 8 pelajar cemerlang yang melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan professional ACCA.

KUALA LUMPUR 28 Okt - Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) memperuntukkan sejumlah RM850,000 bagi membiaya lapan pelajar cemerlang keluarga B40 melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan profesional ACCA. 

 

Bantuan pendidikan yang dibiaya melalui sumbangan zakat Kumpulan Johor Corporation turut mendapat kerjasama Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) menerusi pertukaran Perjanjian Kerjasama bagi penajaan pendidikan ACCA yang berlangsung di Menara KPJ, 26 Oktober lalu.

 

Seramai lapan pelajar terdiri daripada lima lepasan SPM dan tiga lepasan Ijazah Perakaunan yang dipilih menerima tajaan tersebut pada tahun ini telah melalui proses penilaian dan fasa temuduga sebelum ditempatkan di Professional Accountancy Centre – TYMBA Education, Kuala Lumpur untuk tempoh empat tahun pengajian.

 

Menurut Pengerusi Yayasan JCorp, Rozaini Mohd Sani, pembiayaan pendidikan yang ditawarkan ini difokuskan kepada golongan asnaf dan B40 supaya dapat membantu meringankan bebanan dan tanggungan keluarga yang kurang berkemampuan menanggung pengajian anak mereka ke peringkat lebih tinggi.

 

“Pembiayaan ini sekali gus dapat membela nasib pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah agar mereka dapat meneruskan pengajian ke peringkat profesional tanpa sebarang kesulitan di samping memberi dorongan memperoleh keputusan akademik yang cemerlang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Turut hadir pada majlis pertukaran memorandum tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif MyPAC, Datuk Zaiton Mohd Hassan; Pengurus Besar Yayasan JCorp, Noor Ruzilawati Ruddin dan barisan penaja Yayasan JCorp. 

 

Permohonan bagi pembiayaan ini telah dibuka pada Mei 2022 di mana seramai 210 telah membuat permohonan dari seluruh negara. 

 

Bagi pelajar lepasan SPM, mereka akan mengikuti Kursus Asasi Perakaunan (FIA) terlebih dahulu sebelum menyambung pengajian ke peringkat ACCA; manakala bagi graduan Diploma Perakaunan dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan pula, mereka boleh meneruskan pengajian ACCA secara terus.

 

Pelajar yang mengikuti pengajian ini bukan sahaja menjurus kepada perakaunan dan pengurusan kewangan semata-mata, tetapi turut menekankan aspek pembangunan profesional, di mana pelajar akan mengikuti beberapa modul bagi membentuk jati diri dan seterusnya membantu mereka untuk menjadi seorang akauntan profesional yang holistik dan berkaliber pada masa hadapan. - DagangNews.com