Yayasan TM, Istana Negara tingkatkan tahap siap siaga komuniti hadapi banjir | DagangNews Skip to main content

Yayasan TM, Istana Negara tingkatkan tahap siap siaga komuniti hadapi banjir

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Okt - Yayasan TM (YTM) sentiasa terlibat secara aktif dalam usaha-usaha tindak balas kecemasan bencana dan menghulurkan bantuan kepada komuniti yang terjejas menerusi pelbagai cara. 

 

Melihat kepada kehilangan nyawa dan harta benda yang tragik disebabkan bencana alam, ia penting untuk membantu orang ramai lebih memahami kepentingan kesiapsiagaan, risiko yang timbul dan membina keupayaan tindakan awal, termasuklah mengenalpasti kekurangan dan potensi impak terhadap individu dan aset-aset.

 

Menerusi inisiatif terbaharunya, program YTM-Istana Negara Community Based Disaster Risk Reduction and Management Programme (CBDRRM), yang dianjurkan dengan kerjasama Istana Negara, bertujuan memperkasa masyarakat khususnya wanita dan kanak-kanak serta membina daya tahan komuniti semasa bencana dengan pengetahuan dan kemahiran penting dalam kesiapsiagaan bencana.

 

Ia selari dengan aspirasi kerajaan untuk memupuk budaya kesiapsiagaan bencana dalam kalangan rakyat Malaysia.

 

Untuk edisi sulung program ini, YTM telah mengenalpasti tiga kawasan berisiko tinggi iaitu di daerah Kuantan, Maran dan Bentong di Pahang. 

 

Ini juga merupakan kesinambungan daripada sokongan yang diberikan kepada masyarakat setempat selepas bencana banjir awal tahun ini yang mana TM bersama-sama Istana Negara memberikan keperluan asas, tenaga kerja dan bantuan kewangan kepada penduduk di Karak, Ulu Tembeling dan Kuantan.

 

Pengarah YTM, Izlyn Ramli berkata, program CBDRRM ini penting dan tepat pada masanya, memandangkan cuaca hujan lebat dan ribut petir yang semakin kerap akhir-akhir ini. 

 

 

tm

 

 

"Kami berharap masyarakat setempat akan menggunakan sepenuhnya kemahiran dan pengetahuan yang diperoleh daripada inisiatif ini, bersiap sedia dengan lebih baik bagi berdepan sebarang insiden banjir di kawasan mereka, justeru meminimumkan impak dan seterusnya menyelamatkan nyawa.

 

“Kami gembira menerima maklum balas daripada para peserta yang menyatakan modul-modul ini amat membantu. Pada masa yang sama, kami tetap bersedia untuk menghantar pasukan tindak balas dan bantuan kemanusiaan sekiranya diperlukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

tm

 

 

Sesi yang pertama telah diadakan pada bulan Ogos 2022 untuk masyarakat di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Sungai Pandan, Kuantan yang menyaksikan penyertaan sejumlah 120 orang peserta, sementara yang kedua telah diadakan di Maran pada bulan September.

 

Dengan sokongan Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA) serta TM Reaching Out Volunteers (TMROVers), program tersebut telah dikendalikan oleh 12 pakar kemanusiaan yang mempunyai pengalaman luas dalam tindak balas bencana, termasuklah pengurusan risiko daripada Red A Humanitarian Global. 

 

 

tm

 

 

Modul-modul yang diketengahkan menekankan kepentingan kesiapsiagaan bencana, sesi mereka bentuk Pelan Tindak Balas Kecemasan setempat, keselamatan di dalam air dan renangan praktikal, serta latihan simulasi. 

 

Para peserta turut diberi taklimat berkenaan pengurusan kesihatan mental dan mewujudkan ruang mesra kanak-kanak sebagai elemen tambahan. - DagangNews.com