YTL Power muncul pemegang saham utama Ranhill Utilities | DagangNews Skip to main content

YTL Power muncul pemegang saham utama Ranhill Utilities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Nov - YTL Power International Berhad muncul pemegang saham utama Ranhill Utilities Berhad selepas memperoleh 243.33 juta saham atau 18.87% kepentingan dalam syarikat itu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, YTL Power berkata, transaksi itu dibuat pada hari ini.

 

Pada waktu rehat pasaran tengah hari Rabu, saham Ranhill menokok setengah sen atau 0.86% pada 58.5 sen, dengan 1.08 juta saham selesai didagangkan.

 

Nilai pasarannya ialah RM765.27 juta dan harga sahamnya telah meningkat 30% setakat tahun ini.

 

Kaunter Ranhill diniagakan dalam julat 58 sen hingga 59.5 sen pada sesi pagi Rabu, dengan pengiraan mencadangkan YTL Power mengeluarkan antara RM141.13 juta dan RM144.78 juta bagi memiliki 18.87% pegangan dalam Ranhill.

 

Sementara itu, saham YTL Power pada sesi pagi turun dua sen atau 0.95% pada RM2.09 sesaham, dengan 4.6 juta saham diniagakan. 

 

Permodalan pasarannya berjumlah RM17.05 bilion. - DagangNews.com