YTL Power, TNB bekerjasama bekal tenaga elektrik 100MW ke Singapura | DagangNews Skip to main content

YTL Power, TNB bekerjasama bekal tenaga elektrik 100MW ke Singapura

KUALA LUMPUR 30 Jan - YTL Power International Berhad menerusi anak syarikatnya di Singapura bekerjasama dengan unit Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi membekalkan tenaga elektrik 100 megawatt (MW) dari Malaysia ke Singapura menerusi penyambung yang baharu dinaik taraf.

 

YTL Power berkata, YTL PowerSeraya Pte Ltd telah dianugerahkan lesen pengimport elektrik untuk Malaysia bagi percubaan dua tahun oleh Penguasa Pasaran Tenaga Singapura (EMA) selepas permintaan kompetitif untuk proses cadangan pada Oktober 2021.

 

Kumpulan itu berkata,YTL PowerSeraya akan membeli tenaga elektrik daripada TNB Pasir Gudang Energy Sdn. Bhd., sebuah milik penuh di bawah TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco). TNB Genco pula dimiliki sepenuhnya oleh TNB. 

 

“Kedua-dua pihak akan bekerjasama rapat dengan EMA dan Suruhanjaya Tenaga (Malaysia) bagi memperhalusi semua tetapan teknikal dan pengaturan kawal selia di bawah rangka kerja import elektrik, dan perjanjian itu akan berkuat kuasa selepas memenuhi syarat duluan,” katanya.

 

Kerjasama itu dibuat secara rasmi pada majlis pertukaran dokumen untuk perjanjian pembelian elektrik rentas sempadan, disaksikan oleh Menteri Tenaga Manusia Singapura dan Menteri Kedua Perdagangan dan Industri Dr Tan See Leng, dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

 

YTL Power berkata, bahawa perjanjian itu menandakan kali pertama elektrik dari Malaysia akan dibekalkan ke Singapura secara komersial, mematuhi Panduan Suruhanjaya Tenaga untuk Jualan Elektrik Rentas Sempadan (Panduan CBES).

 

Panduan CBES yang dikeluarkan pada Disember 2020 dan disemak pada Oktober 2021, dibangunkan untuk memudahkan tenaga elektrik rentas sempadan antara Malaysia dan negara jiran ke arah visi grid kuasa Asean.

 

Ketua Pegawai Eksekutif YTL PowerSeraya, John Ng berkata, kumpulan itu berbesar hati untuk bekerjasama dengan TNB untuk menyumbang dalam mempelbagaikan sumber tenaga Singapura dan meningkatkan lagi keselamatan tenaga negara.

 

"Kami percaya bahawa ini adalah langkah pertama dalam visi kami bagi grid kuasa Asean yang kukuh, dengan import elektrik akhirnya mungkin membentuk bahagian penting dalam campuran tenaga Singapura," katanya.

 

Pengarah Urusan TNB Genco, Datuk Nor Azman Mufti juga berkata, kerjasama itu adalah langkah positif untuk memperkukuh bekalan tenaga rentas sempadan ke narah merealisasikan grid kuasa Asean yang saling berkaitan sepenuhnya.

 

"Ini akan menandakan kemasukan sulung TNB Genco ke pasaran Singapura melalui jualan elektrik rentas sempadan, dan kami berharap ini akan menjadi pemangkin untuk menangkap projek masa depan dalam pasaran ini," katanya.

 

YTL PowerSeraya berkata, ia adalah satu-satunya pihak di Singapura yang mempunyai pengalaman terdahulu dalam perdagangan kuasa rentas sempadan dan penyelesaian kewangan merentas penyambung untuk membekalkan elektrik kepada TNB di Malaysia pada 2011 dan 2013. - DagangNews.com