Boustead Naval Shipyard miliki kemampuan siapkan projek kapal peronda LCS | DagangNews Skip to main content

Boustead Naval Shipyard miliki kemampuan siapkan projek kapal peronda LCS

Kapal pertama atau LCS 1 yang telah diberi nama KD Maharaja Lela pula sudah siap 60% manakala empat lagi kapal dalam fasa pembinaan.
oleh ZAKI SALLEH

LUMUT 13 Ogos - Pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di limbungan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) di Lumut berjalan sepertimana dirancang termasuk pemasangan beberapa kelengkapan.

 

Kapal pertama atau LCS 1 yang telah diberi nama KD Maharaja Lela pula sudah siap 60 peratus manakala empat lagi kapal dalam fasa pembinaan.

 

Ini sekali gus menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa pembinaan kapal tempur tersebut sebagai projek halimunan apabila tiada kapal dibina.

 

Ketua Pegawai Eksekutif BNS, Kapten (B) Ir. Azhar Jumaat berkata, sebanyak RM1.8 bilion kelengkapan dan sistem sudah dipasang pada kelima-lima kapal tersebut.

 

Jelas beliau, kos tersebut adalah sebahagian daripada RM6 bilion yang diperuntukkan bagi projek pembinaan LCS TLDM yang keseluruhannya menelan belanja sekitar RM9 bilion.

 

"Progres pembinaan iaitu 60 peratus untuk kapal pertama manakala kapal kedua sekitar 48 peratus diikuti kapal ketiga (43 peratus), kapal keempat (36 peratus) dan kapal kelima (22 peratus).

 

"BNS memiliki kebolehan dan kemampuan untuk menyiapkan projek tersebut khususnya melalui kepakaran tenaga kerja tempatan.

 

"BNS merupakan satu-satunya syarikat perkapalan di Malaysia yang boleh melakukannya termasuk membangunkan sendiri reka bentuk kapal itu," ujarnya.

 

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat sempena lawatan media ke limbungan BNS di Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.


 

bns
Kapten (B) Ir. Azhar Jumaat memberi taklimat kepada media yang dibawa memasuki limbungan BNS di Pangkalan TLDM Lumut pada 13 Ogos 2022.

 

bns
Sebahagian daripada petugas media dibawa melihat gudang menyimpan peralatan yang digunakan dalam pembinaan LCS.

 


Pada sesi tersebut, wakil-wakil agensi media tempatan diberi peluang melawat tapak pembinaan LCS bagi mendapatkan gambaran sebenar isu yang menyelubungi projek berkenaan.

 

Dalam pada itu kata Azhar, sebanyak RM1.7 bilion kelengkapan dan perkakasan sistem pula berada dalam gudang serta masih boleh digunakan dalam pembinaan kapal berkenaan.

 

Sehubungan itu katanya, dakwaan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC)  bahawa 15 peratus kelengkapan dan sistem bagi pembinaan LCS telah usang adalah tidak tepat.

 

Kelengkapan ini pula tidak melibatkan peralatan penting seperti persenjataan, enjin dan sistem elektronik.

 

Khamis lalu, PAC dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion bagi projek LCS kepada BNS yang dilaksanakan secara runding terus.

 

Bagaimana pun, sehingga kini tiada sebuah kapal yang diterima manakala pembinaan kapal keenam belum dimulakan. - Dagang.News.com