Maybank IBG, SERC perbaharui kerjasama pembangunan industri sekuriti Kemboja | DagangNews Skip to main content

Maybank IBG, SERC perbaharui kerjasama pembangunan industri sekuriti Kemboja

Michael Oh-Lau (tiga dari kanan) dan Sou Socheat (tiga dari kiri) di majlis menandatangani MoU
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KEMBOJA 31 Mac - Maybank Investment Banking Group (Maybank IBG) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pengawal Selia Sekuriti dan Bursa Kemboja (SERC), memperbaharui komitmennya untuk membantu membangunkan industri sekuriti Kemboja.

 

MoU itu meneruskan Rangka Kerja Kerjasama dan Bantuan Teknikal yang direka bagi memudahkan pembinaan kapasiti, pertukaran kepakaran kawal selia dan pengetahuan teknikal untuk memudahkan dan menggalakkan pembangunan pasaran modal negara tersebut.

 

Ketua Pengarah SERC, Sou Socheat berkata industri sekuriti Kemboja berada di peringkat awal dan beransur-ansur berkembang dan keyakinan terhadap kerjasama dengan Maybank IBG.

 

“Kerjasama ini akan membawa manfaat jangka panjang dalam bentuk pemindahan pengetahuan industri dan kepakaran pembangunan produk, terutamanya dalam menimba pengalaman dan inovasi dalam penyeliaan pasaran Skim Pelaburan Kolektif, yang akan dilancarkan pada 2023,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank IBG, Michael Oh-Lau berkata pihak syarikat percaya permintaan pelabur untuk penyelesaian pelaburan inovatif akan berkembang apabila bilangan pelabur mewah dan canggih di Kemboja terus meningkat.

 

“Sebagai ahli kumpulan perbankan keempat terbesar ASEAN mengikut aset, kami berbesar hati diberi peluang untuk membawa pengalaman mendalam kami kepada perkongsian ini.

 

Kerjasama ini menghidupkan misi Maybank dalam Memanusiakan Perkhidmatan Kewangan,” katanya.

 

Maybank IBG memperluaskan sokongan dan kepakaran mereka untuk membantu mempercepatkan pertumbuhan pasaran modal Kemboja dan menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi negara.

 

MoU baharu untuk tempoh dua tahun itu akan menyaksikan kedua-dua pihak terus bekerjasama dalam semua bidang pembangunan pasaran modal, perkongsian amalan terbaik dan piawaian dalam bidang seperti pengurusan risiko, rangka kerja perundangan, tadbir urus dan pematuhan korporat, pendigitalan, pengurusan kekayaan, pembangunan produk dan sistem pelaporan diseragamkan untuk kewangan dan perakaunan.

 

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC), Tengku Zarina Tengku Chik; Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Kemboja, Rath Sophoan; pengurusan kanan Maybank, Cambodia Securities Exchange (CSX) dan wakil daripada Pengawal Selia dan Unit di bawah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Bukan Bank (FSA), Sekretariat Agung FSA dan rakan media lain.

 

Maybank IBG adalah ahli Maybank yang telah diiktiraf oleh Asiamoney sebagai ‘Bank Antarabangsa Terbaik di Kemboja’ selama tiga tahun berturut-turut dengan 21 cawangan di seluruh negara itu. -DagangNews.com