Cradle, Microsoft jalin kerjasama perkasakan syarikat start-up Malaysia | DagangNews Skip to main content

Cradle, Microsoft jalin kerjasama perkasakan syarikat start-up Malaysia

Datuk Seri Dr. Adham Baba (tengah) menyaksikan majlis pemeteraian MoU antara Cradle dengan Microsoft Malaysia.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Kolaborasi antara Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) iaitu agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan Microsoft Malaysia membuktikan komitmen kedua-dua pihak dalam menyediakan platform kepada syarikat pemula atau start-up tempatan untuk membangunkan hasil inovasi di peringkat global.

 

Menerusi memorandum persefahaman (MoU) ini, Cradle akan bekerjasama dalam program Microsoft for Startups Founders Hub dengan menyediakan peluang meningkatkan kemahiran, memberi panduan dari segi teknikal, menyediakan capaian kepada Microsoft Mentor Network.

 

Kerjasama itu turut berserta akses percuma kepada GitHub Enterprise dan peningkatan produktiviti dengan Microsoft 365 serta kredit awan Azure bernilai sehingga AS$150,000.00 untuk membangunkan produk mereka.

 

Terdahulu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba hari ini menyaksikan majlis pemeteraian MoU antara Cradle dengan Microsoft Malaysia.

 

Menurut Adham, jalinan kerjasama antara Cradle dan Microsoft diharapkan dapat memastikan kemampanan ekosistem start-up. 

 

Beliau berkata, syarikat start-up juga perlu mengambil peluang dalam memanfaatkan kepakaran dan ilmu yang ada pada syarikat besar seperti Microsoft untuk meneroka pasaran antarabangsa.

 

“MOSTI percaya bahawa kolaborasi ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dan pembangunan yang lebih giat kepada syarikat-syarikat start-up di Malaysia. 

 

"Ini adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan ekosistem teknologi di Malaysia, selain menjadi peneraju ekosistem start-up menjelang 2030 seterusnya mencapai pembangunan sosio-ekonomi yang inklusif, bertanggungjawab dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tambahnya, kerjasama antara Cradle dan Microsoft bukan sekadar untuk menyediakan akses kepada teknologi digital kepada para usahawan, tetapi juga bagi memastikan daya tahan ekonomi, kemahiran dan pengetahuan digital dapat dikuasai dan seterusnya menyediakan persekitaran digital yang dipercayai serta selamat agar perniagaan dapat berkembang maju.

 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke pula berkata, syarikat start-up di Malaysia sering dilihat menghadapi kesukaran untuk merealisasikan idea mereka. 

 

"Kebanyakannya berpotensi dan berdaya saing namun sukar mengambil peluang menggunakan teknologi yang sedia ada. Justeru itu, Cradle sangat teruja untuk bekerja rapat dengan Microsoft sebagai rakan kolaborasi bagi mempertingkatkan kepakaran teknologi sekali gus membangunkan ekosistem start-up yang lebih mampan di Malaysia," katanya.

 

Naib Presiden Kanan, Pembangunan Ekosistem Cradle, Ahmad Kashfi Alwi pula berkata, dengan pelbagai halangan yang dihadapi oleh start-up, MOSTI melalui Cradle telah mengambil langkah untuk menyediakan sokongan jangka masa panjang melalui program MYStartup bagi memperkasakan start-up melalui inisiatif-inisiatif pembangunan kapasiti yang lebih komprehensif. 

 

"Ini diharap dapat memberi manfaat dan bimbingan kepada start-up untuk meningkatkan lagi daya saing dan kebolehpasaran," katanya.

 

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K. Raman menjelaskan, Microsoft yang sudah 30 tahun berada di Malaysia mempunyai kepakaran teknologi dan keupayaan menembusi pasaran yang unik demi membantu matlamat start-up di Malaysia. 

 

“Kami akan mengetengahkan platform Startups Founders Hub in Malaysia sebagai sebahagian daripada jalinan kolaborasi dengan Cradle dan MOSTI.  Ini menunjukkan komitmen yang berterusan Microsoft di bawah inisiatif Bersama Malaysia," katanya.

 

Pada majlis pemeteraian MoU ini, sesi perbincangan bertemakan ‘Empowering Startups with Technology’ turut diadakan dengan menghimpunkan barisan panel yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin industri iaitu Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, Datuk Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Ketua Pegawai Pemasaran dan Operasi Microsoft Malaysia, Azizah Ali; Ketua Pegawai Eksekutif DOC2US, Dr. Raymond Choy dan Ketua Pegawai Teknologi Paywatch, Patrick Hew. - DagangNews.com